Pembantu Setiausaha Agung bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Andrew Gilmour membuat dakwaan itu selepas lawatan empat harinya ke daerah Cox’s Bazar, Bangladesh bagi meninjau keada­an etnik terbabit yang melarikan diri dari Myanmar, baru-baru ini.
“Penghapusan etnik Rohingya terus berlaku dan hanya itu ke­simpulan yang boleh saya katakan berdasarkan apa yang saya lihat dan dengar di Cox’s Bazar.
Gilmour menjelaskan, sifat ke­ganasan itu telah berubah daripada pertumpahan darah dan rogol beramai-ramai pada tahun lalu kepada kempen keganasan pada skala rendah dan sengaja membiarkan berlaku kebuluran.
Kata beliau, sukar untuk dipercayai bahawa etnik Rohingya akan dapat kembali ke Myanmar dalam masa terdekat di sebalik janji diberikan Myanmar bahawa mereka bersedia menerima kepulangan penduduk berkenaan.
“Kerajaan Myanmar sedang sibuk memberitahu dunia bahawa mereka sudah bersedia menerima kepulangan etnik Rohingya walhal pada masa sama, tentera sedang giat menghalau etnik itu ke Bangladesh.
“Kepulangan selamat, bermaruah dan teratur tentu saja mustahil berdasarkan keadaan semasa,” katanya.
Sebaliknya tentera Myanmar menegaskan, tindakan kekerasan itu perlu dilakukan untuk menghapuskan pemisah Rohingya yang menyerang pos polis sempadan, pada Ogos lalu hingga mengakibatkan kematian lebih 10 orang.
Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menganggarkan 6,700 etnik Rohingya terbunuh pada bulan pertama tindakan kekerasan dilancarkan.
Ratusan kampung Rohinga dibakar dan imej satelit terbaharu menunjukkan sekurang-kurang­nya 55 buah kampung diratakan sepenuhnya tanpa meninggalkan sebarang kesan bangunan, telaga dan tumbuhan.