Kuala Lumpur: Dua penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng akan meneruskan perjuangan pemburuan pingat pada temasya Tokyo 2020 dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita, esok. Mereka akan bersaing pada peringkat saringan terlebih dahulu dan perlu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik untuk melayakkan diri ke separuh akhir sebelum 12 penerjun memperoleh mata tertinggi akan mara ke peringkat akhir. Bagi kedua-dua atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, mereka hanya mahu memberikan terjunan terbaik demi negara selepas banyak pengorbanan dilalui untuk mencapai impian beraksi di Sukan Olimpik. Dhabitah yang akan membuat penampilan kedua di pentas Sukan Olimpik selepas kali pertama beraksi di Rio 2016 berkata, dia sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi temasya ini dengan meletakkan sasaran untuk cuba membawa pulang pingat. "Saya sudah bersedia dan berusaha keras untuk semua ini. Perjalanan untuk ke Sukan Olimpik tidak mudah, banyak yang perlu dilalui dan dikorbankan termasuklah meninggalkan keluarga kerana kekangan terhadap latihan gelembung sukan. "Tapi tak mengapa kerana itu semua untuk negara dan saya dapat memberi fokus kepada latihan kerana mahu membawa pulang pingat," katanya. Terjunan pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu kini dilihat lebih matang dan mampu untuk mencabar podium, malah pengalaman beraksi di Piala Dunia Tokyo pada Mei lalu dijangka akan memudahkan penampilannya kali ini. Ditanya, siapakah pencabar utama perlu diberi perhatian, Dhabitah berkata, ia pastinya datang dari negara kuasa besar sukan itu antaranya China, Kanada, Australia dan Britain. sumber : HMetro
|