[size=0.8]Zuhainy Zulkiffli - September 2, 2021 @ 1:07pm[email protected]
Pasar Awam Padang Tembak, di Georgetown, ditutup serta-merta bermula hari ini berikutan sembilan individu positif COVID-19. - Foto ihsan MBPP
GEORGETOWN: Pasar Awam Padang Tembak, di sini, ditutup mulai hari ini berikutan sembilan pengguna, peniaga gerai dan pembantu kesihatan awam (penyedia pasar) positif COVID-19.
Arahan penutupan membabitkan 121 gerai itu berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak sebagai langkah mengekang penularan wabak.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi kenyataan berkata, penutupan pasar awam berkenaan dilakukan bagi melaksanakan kerja sanitasi dan disinfeksi.
Katanya, selain itu MBPP bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (MBPP) akan turut menjalankan penilaian COVID-19 terhadap pasar itu.
"Orang ramai dinasihati supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak jangkitan menerusi komuniti.
"Sehubungan itu, orang ramai diminta mengambil perhatian terhadap penutupan premis berkenaan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MBPP menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksanakan dengan baik pada setiap masa.
"Tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya ada pelanggaran SOP.
"Individu yang berstatus risiko tinggi dalam aplikasi MySejahtera adalah dilarang masuk ke dalam premis pasar awam atau kompleks makanan," katanya.