Hamzah Osman - November 13, 2021 @ 6:05pm[email protected]
LANGKAWI: Kerajaan sedia mempertimbang kebenaran mengimport daging ayam bagi menangani isu kenaikan harga ternakan itu berikutan kekurangan bekalannya di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu antara pilihan dikaji kerajaan untuk menyelesaikan isu kenaikan harga ternakan itu.
"Kita berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) minggu lalu dan dijangka isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
"Pada mesyuarat itu, MAFI akan berusaha menyelesaikan masalah harga ayam dan isu bekalan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Karnival Jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan 2021 di Dataran Chenang.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Sebelum ini, terdapat laporan berkaitan kenaikan mendadak harga ayam di seluruh negara dengan harga ayam proses kini dijual melebihi RM9 sekilogram.