Seramai 12 PATI warganegera Myanmar ditahan di jalan Bukit Kayu Hitam-Felda Bukit Tangga, di sini, semalam. - Foto ATM
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke negara ini dengan memotong pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah ditahan awal pagi semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini berkata, kehadiran mereka disedari anggota pasukan Briged Keenam Infantri Malaysia yang melakukan rondaan di jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, kira-kira jam 1 pagi.
"Anggota rondaan mengesan terdapat tanda kesan potongan pada pagar keselamatan serta kesan tapak kaki manusia yang menghala ke kebun getah.
"Susulan itu, operasi penjejakan dilakukan berdasarkan kesan tapak kaki berkenaan dan dapat menahan 12 PATI termasuk tiga wanita yang bersembunyi dalam semak," katanya.
Semua PATI itu kemudian dibawa ke Pos Keselamatan pasukan untuk siasatan awal.
"Siasatan mendapati semua mereka adalah PATI warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun dan cuba memasuki negara ini melalui sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand menggunakan laluan yang tidak sah.
"Sejumlah mata wang, telefon bimbit dan barang kemas dianggarkan berjumlah RM3,748 turut dirampas daripada mereka," katanya.
Semua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Alor Setar dan Kementerian Kesihatan (KKM).