Banyak perkara pelik di Jogja
Oleh MAHATHIR JAMIL
PERTUNJUKAN kuda lumping di Indonesia sering berakhir dengan pemainnya membakar diri tanpa cedera, memakan kaca dan menari di atasnya.
YOGYAKARTA atau lebih dikenali sebagai Jogja di Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan kemunculan corak bulatan ganjil di tujuh petak sawah padi di daerah Krasakan, Sleman. Penduduk di sekitarnya percaya ia dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO).
Sama ada buatan manusia, makhluk asing atau terbentuk akibat fenomena alam, corak bulatan raksasa itu menarik perhatian ramai selama berminggu-minggu kerana reka bentuk geometrinya yang rapi dan cermat.
Corak bulatan pelik kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang aneh itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiada saksi yang melihat manusia yang melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di tengah-tengah bulatan besar yang berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter. Ia ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad, 23 Januari lalu.
Kuno
|
KESAN bulatan aneh di petak sawah padi menggemparkan penduduk Jogja minggu lalu.
|
Bulatan itu yang terbentuk berhampiran rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti sama ada corak bulatan itu dihasilkan oleh UFO atau merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Misteri bulatan bercorak ganjil seperti itu telah lama diperkatakan. Namun, teka-teki itu belum dapat dirungkai sepenuhnya. Ada yang berpendapat kejadian itu telah berlaku di seluruh dunia sebelum kurun ke-20 lagi.
Selain kisah kemunculan UFO di Sleman itu, Jogja sebenarnya menyimpan banyak peristiwa dan perkara pelik yang lain, setidak-tidaknya dari segi amalan masyarakat tempatan.
Menurut Timbalan Pengerusi Tetap, Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia, Mohd. Nazaluddin Mat Nazir, ia dipercayai berpunca daripada tradisi masyakarat Jawa yang masih mengamalkan ritual dan amalan kuno yang mempunyai pengaruh agama Hindu dan Buddha.
Jelas Nazaluddin yang mengikuti kursus perubatan di Universitas Sebelas Maret, Solo, contoh yang dapat dilihat adalah di Keraton Yogyakarta dan Keraton Solo di mana penduduknya masih kuat berpegang pada pantang larang tertentu. Malah, peristiwa pelik dan penyakit misteri sering menimpa individu yang melanggar pantang larang tersebut.
Pelik
|
NAZALUDDIN
|
“Salah satu kisah yang paling terkenal adalah tentang larangan memakai pakaian berwarna hijau di Pantai Selatan, Jogja. Mereka yang tidak menghiraukannya didapati hilang tanpa kesan.
“Ini dikaitkan dengan cerita penguasa Pantai Selatan iaitu Ratu Roro Kidul.
“Penduduk mengatakan sudah banyak kejadian orang hilang di situ,” ujar Nazaluddin yang sudah tinggal di Solo, Jawa Tengah selama lima tahun.
Ceritanya lagi, upacara menyembah pantai juga masih diamalkan. Penduduk akan menyembelih kerbau dan menghanyutkan kepala kerbau itu berserta beras, buah-buahan dan makanan lain ke laut bertujuan untuk menenangkan laut dan memperoleh hasil tangkapan ikan yang banyak.
“Saya juga pernah menyaksikan pertunjukan kuda kepang (dipanggil kuda lumping di Indonesia) dengan para pemainnya membakar diri tanpa cedera, makan kaca dan juga menari di atas kaca.
“Mereka mengupas kelapa dengan gigi dan memanjat pokok kelapa dengan kaki saja dalam keadaan seperti dirasuk,” katanya.
Menurut Nazaluddin, perkara itu sebenarnya adalah khurafat dan tahyul.
“Ada juga orang Jawa sering menyediakan sajen (sesaji) dan membakar colok untuk roh nenek moyang mereka yang dikatakan bagi mendapat berkat dan restu serta perlindungan.
“Upacara menurun sering dilakukan di sini pada hari tertentu seperti Hari Asyura.
“Upacara itu pula berlainan mengikut daerah masing-masing,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Nazaluddin, amalan itu tidak mengganggu pelajar Malaysia di sana.
“Mereka tidak pernah mengalami kejadian pelik selepas menyaksikannya,” katanya.