|
Pelakon Datuk Aaron Aziz, 47, sudah berjaya menurunkan berat badan kira-kira 11 kilogram (kg) atas nasihat doktor sebagai ikhtiar merawat masalah kesihatan, 'slipped disc' yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz berkata, usaha menurunkan berat badan yang dilakukan itu berhasil, sekali gus membantunya kembali sihat, selain aktif bersenam juga.
"Setakat ini, ternyata saranan doktor agar saya turunkan berat badan dan bersenam sebagaimana dilalukan sangat membantu dalam ikhtiar merawat masalah 'slipped disc' dihadapi ini tanpa perlu melakukan pembedahan berisiko.
"Alhamdulillah, dengan berkurangnya berat badan saya sekarang amat membantu, sebab sebelum ini nak naik tangga di rumah pun susah. Jadi, apa yang disarankan oleh doktor itu adalah kaedah yang baik untuk saya.
"Doktor nasihatkan saya agar berusaha kurangkan berat badan dan aktif bersenam. Syukur sangat kerana kini berat badan saya sudah berjaya diturunkan sebanyak 11 kg," katanya hadir pada sesi fotografi filem Sayu Yang Syukur di Bangsar.
Terdahulu, difahamkan Aaron mengalami masalah 'slipped disc' itu sejak beberapa tahun lalu selepas dia melakukan babak aksi dalam penggambaran sebuah filem yang menyebabkannya menghadapi kecederaan.
"Biasalah bila buat kerja 'stunt' ketika berlakon, leher dan pinggang yang kalau cedera pasti akan beri kesan pada saraf saya. Doktor ada saran untuk cungkil saraf yang tersepit itu, tapi ia berisiko karana saya tidak boleh bekerja dan kena berehat di rumah.
"Saya tak mahu macam itu (berehat lama tanpa kerja). Begitu juga, doktor ada minta saya buat terapi, tapi malas pula keluar masuk hospital. Jadi, saya banyak ikhtiar sendiri dan aktif bersenam untuk kuatkan belakang saya.
"Alhamdulillah, sekarang semua baik-baik saja dan saya apabila melakukan babak aksi sendiri pun tiada masalah terlalu sakit. Keadaan kesihatan saya kini dalam proses pemulihan yang membaik," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|