|
JOJO akan berada dalam senarai atlet muay thai yang akan membawa cabaran negara pada saingan Sukan SEA di Thailand pada 2025.
SKUAD muay thai negara bakal menghantar barisan terbaik mereka ke Sukan SEA 2025 selepas Thailand bakal menawarkan 12 kategori untuk pertandingkan pada temasya dwitahunan tersebut.
Disebabkan itu, Persatuan Muay Thai Malaysia mula mengatur strategi agar pihaknya dapat memasuki semua kategori dengan menghantar barisan terbaik negara yang pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA dan juga pernah merangkul gelaran dunia.
Presiden Muay Thai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, dia meletakkan harapan agar Juara Dunia tiga kali, Mohd. Rifdean Masdor, Juara dunia 2022, Nur Iman Aliff dan Muhammad Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar (Juara Muaythai Remaja Dunia) serta Juara dunia wanita negara, Nur Amisha Azrilrizal akan ke Thailand.
“Saya dimaklumkan akan terdapat 12 kategori yang akan dipertandingkan di Thailand nanti dengan melibatkan tujuh kategori lelaki dan lima kategori wanita.
“Kita mengharapkan jaguh-jaguh negara dapat mewakili negara di pentas dwitahunan tersebut.
Ketika ini, atlet terbaik negara adalah Rifdean kerana dia adalah juara remaja dunia, juara dunia tiga kali berturut-turut, malah merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA.
“Alif pula adalah juara dunia 2022 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021. Selain dua atlet berkenaan kita juga mengharapkan Jojo dan Nur Amisha mewakili Malaysia. Mereka semua adalah atlet terbaik ketika ini,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara kelmarin.
Dalam pada itu, Shahnaz turut menegaskan pihaknya meletakkan sasaran dua pingat emas mampu dicapai petarung negara memandangkan saingan di Sukan SEA berbeza kerana atlet akan menempuh lima perlawanan berbanding satu perlawanan di One Championship.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... sukan-sea-thailand/ |
|