|
Datuk Kamalludin Ismail meninjau barang tiruan membabitkan nilai RM135,500 yang disita KPDN dalam serbuan ke atas sebuah syarikat yang menjadikan tiga permis rumah kedai di Desa Rishah Indah, Falim, di sini sebagai setor menyimpan barangan terbabit, semalam. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 10,997 pasang kasut, selipar dan stokin tiruan bernilai RM135,500 dalam operasi di Desa Rishah Indah, Falim, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan pada 11.45 pagi ke atas tiga premis rumah kedai yang dijadikan stor simpanan barangan tiruan oleh sebuah syarikat.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pengurus syarikat itu.
Menurutnya, ketika serbuan terdapat enam pekerja di premis berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka mengaku pernah dikenakan tindakan sama pada 2020.
Katanya, pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan pelbagai kasut, selipar dan stokin jenama terkenal disyaki tiruan yang diperolehi dari China.
"Siasatan mendapati kesemua barangan tiruan ini diperolehi secara tempahan dari China untuk penjualan borong dan juga melalui platform e-dagang.
"Pengesahan awal dilakukan oleh wakil pemilik cap dagang mendapati barangan di premis itu adalah tiruan, dan siasatan dibuat mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.
Difahamkan, terdapat kira-kira 32 jenis barangan tiruan jenama terkenal yang tidak mempunyai cap dagangan disimpan di tiga stor terbabit bagi jualan secara borong atau atas talian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... uan-jenama-terkenal |
|