Keadaan 4WD yang dinaiki tiga beranak yang mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian akibat daripada perlanggaran dengan sebuah lori.
MIRI: Seorang bapa dan anaknya perempuannya maut manakala isterinya cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu lewat petang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 6.12 petang.
“Hasil siasatan polis mendapati semasa tiba di tempat kejadian, lori yang di pandu dari arah Miri menuju ke Bintulu telah membuat pusingan P-Turn telah berlanggar dengan sebuah 4WD yang bergerak lurus dari arah Batu Niah.
“Kemalangan ini menyebabkan pemandu 4WD berusia 31 tahun meninggal di tempat kejadian manakala seorang anak mangsa yang berusia enam tahun disahkan meninggal pada jam 3.39 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Miri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata seorang lagi penumpang 4WD yang juga isteri mangsa mengalami kecederaan parah.
“Manakala pemandu lori berusia 48 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kesan kemalangan tersebut menyebabkan lori mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan manakala 4WD mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian ini dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|