Sebuah rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri musnah sepenuhnya dalam kebakaran sekitar jam 2.10 petang tadi.
MIRI: Dua keluarga hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Lereng Bukit, Jalan Pujut di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.10 petang sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Bonny Martin Saging melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.
"Kebakaran melibatkan keluasan rumah dianggarkan dalam 10x15 kaki persegi. Dalam kejadian itu, semua penghuni rumah berjaya menyelamat diri semasa kebakaran," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, anggota operasi bertindak membentang satu aliran 400 kaki dua pancutan sumber air pili bomba dan pam jentera untuk melakukan pemadamam.
Katanya, pasukan bomba masih menjalankan kerja-kerja 'overghaul' sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya. "Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," jelasnya.
Seramai 15 anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sementara anggota daripada agensi polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) turut berada di lokasi.
Utusan Borneo dimaklumkan rumah terbabit didiami dua keluarga terdiri daripada pemilik rumah dan penyewa.
|