KHO
KUCHING: Gunakan mandat yang diberikan rakyat untuk menyuarakan kebimbangan harga tiket penerbangan mahal di Parlimen, kata Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan hari ini.
Beliau membuat kenyataan tersebut ekoran kenyataan yang disiarkan di media sosial Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen yang katanya tidak menggunakan saluran betul untuk membantu rakyat.
"YB Chong tahu betul bahawa kuasa untuk mengawal selia dan mentadbir industri pengangkutan termasuk penerbangan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan Persekutuan.
"Sebagai seorang Ahli Parlimen dan mendapat keistimewaan kerana diberi mandat oleh penduduk Bandar Kuching dan kemudiannya Stampin sejak 20 tahun yang lalu, saya tertanya-tanya mengapa YB Chong tidak membawa kebimbangan kenaikan harga tiket penerbangan ini ke Parlimen?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kho, Chong bahkan mendesak kerajaan GPS Sarawak menangani kenaikan harga tiket penerbangan daripada membincangkan isu tersebut dengan Menteri Pengangkutan Malaysia yang tidak lain tidak bukan merupakan Setiausaha Agung DAP YB Anthony Loke.
"Kerajaan GPS Sarawak melalui program iGPS (Inisiatif Graduan Pulang Sarawak) menyediakan subsidi tiket penerbangan dua kali setahun kepada pelajar IPTA dan IPTS sepenuh masa.
"Pembelian MASwing yang sedang dijalankan adalah satu lagi usaha kerajaan GPS Sarawak untuk menangani kenaikan kos tiket penerbangan tersebut," tegasnya.
Oleh itu, beliau berharap Chong tidak menolak isu tersebut kepada kerajaan GPS dan hanya bercakap dalam akhbar.
"Sebaiknya, YB Chong cuba tangani isu kenaikan harga tiket dengan tindakan yang betul. Bersama-sama kita membantu menyelesaikan isu harga tiket penerbangan untuk Sarawak," ujarnya.
|