GLC lain di negeri ini digesa mencontohi usaha SMD Semiconductor dalam membangunkan bakat, kata Sagah
Sagah (barisan belakang, empat kiri) dan Shariman (barisan belakang, tiga kiri) serta yang lain merakam kenangan bersama pelatih kumpulan pertama yang menamatkan Latihan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Analog dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC.
"Kejayaan 14 pelajar yang merupakan kumpulan perintis menamatkan Latihan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Analog dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC, membuktikan komitmen teguh SMD Semiconductor melahirkan 500 profesional semikonduktor menjelang 2030.”
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat
Oleh Patricia Gari
KUCHING: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di negeri ini digesa mencontohi usaha SMD Semiconductor dalam membangunkan bakat khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata untuk pertumbuhan yang mampan, penting bagi kedua-dua industri dan kementeriannya melalui syarikat berkaitan kerajaan mereka bentuk serta melaksanakan program pembangunan bakat yang memenuhi keperluan unik industri Sarawak.
GLC tambahnya, harus melaksanakan program-program sesuai dengan keperluan industri.
"Kejayaan 14 pelajar yang merupakan kumpulan perintis menamatkan Latihan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Analog dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC, membuktikan komitmen teguh SMD Semiconductor melahirkan 500 profesional semikonduktor menjelang 2030.
"Latihan itu adalah yang pertama seumpamanya di Sarawak. Saya difahamkan kesemua pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan akan diambil bekerja sama ada dengan SMD Semiconductor atau Melexis.
“Saya ingin memuji SMD atas kepimpinan berwawasan mereka dalam memulakan pembangunan bakat dalam rantaian nilai semikonduktor dengan kerjasama Melexis dan CENTEXS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Penutupan Program Penguasaan Semikonduktor Kohort Pertama SMD di Akademi SMD, La Promenade dekat sini, hari ini.
Usaha SMD itu tambahnya, telah meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan industri semikonduktor di Sarawak dan yakin inisiatif ini akan terus membuahkan hasil pada tahun-tahun akan datang.
Dalam ucapannya itu Sagah turut menekankan kepentingan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam mewujudkan asas kukuh bagi kemahiran berteknologi tinggi yang akan menentukan masa depan.
"Saya gembira kerana SMD menganjurkan Cabaran Make-A-Thon SMD di Miri, Sibu dan Kuching untuk mempromosikan industri semikonduktor dalam kalangan pelajar," katamnya.
"Saya menggalakkan pelatih untuk meneruskan kerjaya mereka di Sarawak dan bagi yang memilih untuk bekerja di luar negara, kembali dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Shariman Jamil mengumumkan 16 pelatih baharu dari institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Xiamen telah dipilih daripada kumpulan 124 pemohon tempatan dan 65 pemohon luar Malaysia untuk kohort kedua, yang akan bermula pada 3 September 2024.
Menurut Shariman, latihan dalam reka bentuk IC dan ujian IC menuntut graduan dengan latar belakang kukuh dalam STEM selain asas serta pemahaman tentang reka bentuk IC, bidang di mana institusi pengajian tinggi memerlukan pembangunan selanjutnya.
Jurang dalam pengetahuan ini menyerlahkan keperluan usaha pendidikan tertumpu bagi melengkapkan graduan dengan lebih baik untuk permintaan industri semikonduktor, tambah Shariman.
“Dengan mengambil kira cabaran ini, SMD Semiconductor telah menjalin usaha sama dan kolaboratif dengan Swinburne University untuk meningkatkan lagi usaha pembangunan bakat kami.
"Melalui program ijazah sarjana bersama, kami menyasarkan untuk menyediakan pendidikan lanjutan dan peluang latihan khusus kepada graduan atau individu yang ingin mendalami kepakaran dalam teknologi semikonduktor.
"Usaha sama ini bukan sahaja menambah saluran bakat tetapi mengukuhkan hubungan antara industri dan akademik, memupuk inovasi serta memacu kemajuan dalam sektor semikonduktor," katanya.
Program Penguasaan Semikonduktor Kohort Pertama SMD yang bermula 14 Februari 2024, ditaja oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan difasilitasi oleh SMD dengan kerjasama Melexis dan CENTEXS.
|