Ramli (tiga kiri) bersama Masni (dua kiri) dan Nazim (empat kiri) ketika merasmikan majlis tersebut di Sibu hari ini.
SIBU: Menjadi seorang pelaut cemerlang dan terbilang perlu mempunyai hati kental terutama dalam menghadapi cabaran dan dugaan ketika berkhidmat.
Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia Ramli Yusoff berkata, pelaut perlu mempunyai hati sekeras batu bagi menempuhi cabaran serta dugaan datang ketika bertugas di lautan.
"Saya amat berharap agar semua calon-calon graduan berlapang dada sebab dalam kerjaya perkapalan ini, bermacam-macam cabaran dan dugaan perlu ditempuhi," katanya pada Majlis Tamat Kursus dan Penyampaian Sijil Pegawai dan Kadet Marin Enjin Siri 2 Pelita Maslaut di sini hari ini.
Menurutnya, kerjaya beliau sebagai pelaut bermula sebagai seorang pegawai kadet dan pernah belayar untuk tempoh maksimun selama 11 bulan sekali gus berjauhan dari keluarga untuk tempoh lama.
"Ini cabaran pertama perlu dihadapi. Oleh itu, hati kita kena kental dan tidak boleh lemah.
“Saya harap semua graduan Pelita Maslaut menjadi seorang pelaut cemerlang dan terbilang," jelasnya.
Beliau memberitahu bidang marin pada masa sekarang meningkat maju dan memerlukan pelaut-pelaut bergerak seiringan dengan kemajuan.
Sebagai contoh, terdapat usaha dilakukan untuk mengawal sebuah kapal belayar di lautan dari jarak jauh tanpa ada manusia berada dalam kapal tersebut.
"Pada masa akan datang, semua akan dikawal dari jauh dalam pejabat. Mungkin kita mengalami semua pengalaman itu nanti," jelasnya.
Pengurus Besar Pelita Maslaut Mohamad Nazim Masni dalam ucapannya menyeru ibu bapa dan keluarga sentiasa memberi sokongan kepada graduan dari segi mental dan fizikal untuk membantu mereka meneruskan kerjaya sebagai pelaut.
"Setelah mereka tamat kursus nanti terutama bagi pelatih muda sentiasa memberi sokongan kepada mereka dari segi mental dan fizikal meneruskan kerjaya sebagai seorang pelaut walaupun dengan berbagai cabaran dan dugaan dihadapi.
"Mungkin sebelum ini apa yang mereka dengar indah-indah belaka, namun pada dasarnya kita perlukan usaha, disiplin dan komitmen untuk menghadapi semua ini sebagai seorang pelut," jelasnya.
Nazim juga menyeru pelatih dan pelaut sentiasa meningkatkan kemahiran masing-masing membolehkan mereka duduk sama tinggi atau berkhidmat bersama dengan pelaut dari negara luar.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Maslaut Masni Amit.
|