Edited by Vellfire at 4-9-2024 09:22 AM
MERIAH: Liew (empat kiri) ketika hadir merasmikan majlis penutupan SMT 2024.
TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menyokong usaha penganjur Stylofest Merdeka Tawau (SMT) 2024 membantu peniaga kecil di daerah ini.
Presiden Harapan Rakyat, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, penganjuran sebegini perlu diberikan sokongan padu oleh semua pihak termasuklah kerajaan negeri.
Katanya, usaha ini bukan acara hiburan semata-mata, tetapi ia banyak membantu peniaga kecil untuk menjual dan memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai.
“Saya difahamkan lebih 160 peniaga yang mendapat manfaat menerusi penganjuran Stylofest Merdeka Tawau 2024 yang diadakan selama tiga hari ini.
“Kita dapat lihat kemeriahan acara berkenaan, ramai penduduk di daerah ini dan sekitarnya datang membeli pelbagai jenis makanan serta pakaian yang dijual dengan harga berpatutan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Stylofest Merdeka Tawau (SMT) 2024, di sini, semalam.
Menurutnya, penganjuran seumpama ini perlu diteruskan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk rakan artis sangat diharapkan supaya setiap acara mendapat sambutan ramai.
“Saya yakin sekiranya acara-acara berimpak besar kerap dilakukan, ia boleh melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di daerah ini.
“Selain itu, daerah Tawau akan menjadi destinasi pelancongan dan kunjungan orang ramai dari dalam mahupun luar daerah,” katanya.
Liew turut menggesa usahawan tani di daerah ini dapat mengambil peluang untuk memasarkan produk mereka dalam setiap acara-acara yang dianjurkan.
“Kita juga mahu tonjolkan bahawa daerah Tawau ini sebagai Bumi Peladang dan kaya dengan hasil pertanian berkualiti tinggi,” katanya.
|