|
Polis Sabah cari Fahmi Reza, sahkan terima lebih 30 laporan
https://www.bharian.com.my/berit ... ma-lebih-30-laporan
Oleh Juwan Riduan - Disember 30, 2024 @ 4:54pm
[email protected]
Fahmi Reza dicari susulan lebih 30 laporan polis diterima. - NSTP/ Gambar fail
KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata susulan laporan polis diterima di seluruh Sabah itu, satu kertas siasatan terhadap individu berkenaan dibuka.
"Setakat ini, kita menerima lebih 30 laporan berkaitan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telah pun dibuka.
"Kita mencarinya untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya dan pihak polis akan memastikan siasatan ke atas kes berkenaan diteruskan," katanya pada sidang media berkaitan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, pihaknya percaya Fahmi masih berada di Sabah dan mungkin hadir pada perhimpunan aman dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di hadapan Menara Kinabalu, petang esok.
Katanya, Fahmi dikehendaki polis untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan akan mengambil tindakan jika individu itu hadir pada perhimpunan berkenaan.
"Polis sedang mencarinya (Fahmi) untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948. Jadi yang lain jangan terpengaruh dengan provokasinya kerana kita sudah terang-terangan menyatakan bahawa polis mencarinya di bawah akta itu," katanya.
Selain itu, beliau berkata Fahmi turut dicari bagi siasatan menghina pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, melalui poster satira karikatur bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilukisnya.
Sebelum ini, Fahmi memuat naik poster satira karikatur Musa dengan imej negatif sebagai bantahan terhadap pelantikannya atas alasan pernah dikaitkan dengan rasuah.
Tindakan itu dianggap keterlaluan dan tidak beradab, lebih-lebih lagi membabitkan seorang ketua negeri.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|