Ton Pheung (Laos): "Saya dipaksa bekerja sebagai scammer dan jika tak hit (capai) sasaran, syarikat tidak mahu bayar gaji, jadi terpaksa makan lauk babi di kafeteria," begitulah antara penderitaan yang perlu ditempuh seorang pemuda dari Johor yang mahu dikenali sebagai Salman, 23.
Dia berhadapan situasi seperti itu selepas diperdaya sindiket pemerdagangan manusia dan terperangkap di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ) di sini, kira-kira enam bulan lalu.
Salman antara lima warga Malaysia yang berjaya dibawa keluar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) baru-baru ini, daripada cengkaman sindiket didalangi warga China yang berleluasa di GTSEZ.
Ketika ditemui di sebuah rumah selamat tidak jauh dari GTSEZ, Salman berkata, mereka diberikan sasaran keuntungan bulanan oleh sindiket yang dirujuk sebagai 'syarikat' dan jika gagal mereka akan disaman.
Menurutnya, pihak syarikat mengenakan pelbagai saman yang tidak masuk akal di mana saman berkenaan dikuatkuasakan oleh penguasa atau penyelia dalam kalangan warga Malaysia yang menjadi tali barut sindiket.
"Pada mulanya saya dapat tawaran kerja di Thailand tetapi sebaik mendarat saja di Chiang Rai, orang sindiket sudah tunggu lalu bawa saya menaiki kereta dan kemudiannya menaiki bot dan masuk ke GTSEZ di sini.
"Mereka letak sales target (sasaran penipuan) untuk satu team hingga cecah jutaan ringgit tapi sasaran individu dalam RM100,000, di mana saya cuma berjaya capai sekali sepanjang enam bulan di sini.
"Jika gagal capai sasaran sir (penyelia) akan denda, semua benda kena denda, datang lambat denda RM500 dan pernah sekali selepas tolak denda gaji saya jadi kosong lepas itu saya berhutang pula dengan syarikat.
"Itu cara mereka, kalau kita dapat sales (tipu) RM100,000, akan dapat gaji kira-kira RM1,500 dan komisen tujuh peratus jadi sepatutnya terima bayaran RM8,000 lebih, tetapi penyelia akan sentiasa cari salah untuk saman.
"Mereka (penyelia) semuanya orang Malaysia, mereka jaga bahagian kami, jika ada yang melanggar peraturan akan dibelasah sehingga lunyai dan saya pernah lihat sendiri perkara itu terjadi.
"Antara penyelia yang menjaga kami dikenali sebagai Sir Lim, Sir Ace, Sir Majang, Sir Simon dan Sir Tyson," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Salman berkata, berdasarkan percakapan kumpulan penyelia berkenaan dipercayai mereka berasal dari Sarawak dan ada juga dari semenanjung.
Katanya, pusat operasi tempat dia bekerja terletak di tingkat lapan sebuah menara pejabat dengan hampir kesemua tingkat dimiliki oleh sindiket penipuan dalam talian dipercayai didalangi warga China.
SEBUAH bangunan yang menjadi pusat hiburan dan kasino dapat dilihat sepanjang menyusuri bot di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ). FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Menurutnya, mereka dibenarkan bergerak bebas di dalam kawasan GTSEZ namun perlu memakai tag khas bagi menandakan mereka sebagai pekerja sindiket.
"Dalam ini (GTSEZ) semua ada, nak mabuk, pelacur, pusat hiburan semua ada terutama untuk bos-bos sindiket dari China sebab itu kalau tengok semua kedai di sini guna bahasa China bukan Laos.
"Kedai makan halal ada diusahakan seorang mamak di Chinatown berhampiran asrama tetapi bila gaji sudah habis bayar saman bagaimanapun mahu beli?," katanya.
Ditanya berkenaan rutin hariannya, Salman berkata, mereka perlu membuat 'jualan' dan dipaksa bekerja sehingga 18 jam sehari.
"Saya diarahkan membuat 'Love Scam', kami diberikan skrip dan diajar cara-cara untuk menggoda mangsa di Malaysia melalui media sosial.
"Apabila sudah cukup loving (tergoda) kami akan suruh customer (mangsa) sertai pelaburan palsu, di sinilah kami ambil duit mereka, kami berikan pautan kepada laman pelaburan palsu.
"Selepas mereka mula melabur kami akan pujuk pelanggan untuk melabur lebih lagi, dan pada peringkat awal bos akan bagi untung supaya mereka seronok dan melabur lagi.
"Selepas beberapa kali bos akan kunci akaun mangsa dan berikan pelbagai alasan kemudian meminta RM10,000 jika mahu membuka kunci berkenaan," katanya.
Menurutnya, jika mangsa enggan membuat bayaran kami diarahkan untuk mengugut mangsa menggunakan gambar lucah yang diperoleh semasa menggoda mangsa.
Katanya, mereka menggunakan pelbagai taktik untuk menggoda mangsa antaranya menggunakan gambar wanita cantik sebagai gambar profil dan berbual lucah bersama mangsa yang ditemui di media sosial.
"Begitulah enam bulan saya terpaksa hidup bagai di neraka, saya menyesal tipu ibu bapa dan beritahu mereka saya kerja petik buah di Australia.
"Di Johor, saya bekerja sebagai pengawal peribadi sambilan sebelum terima tawaran kerja di sebuah kilang di Thailand dengan gaji kira-kira RM5,000 dan saya terima kerana kononnya mahu lihat negara orang," katanya.
KETUA Unit Pemerdagangan Manusia Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Syafik Sazali (tengah) ketika bertemu warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil