Lelaki maut kemalangan 3 kenderaan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 8, 2025 @ 12:53am [email protected]

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di KM37.5 Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum Plaza Tol Hutan Kampung, malam tadi. - Foto ihsan bomba
JITRA: Seorang pemandu lelaki maut, manakala penumpang wanita dipercayai isterinya cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 37.5 Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum Plaza Tol Hutan Kampung, di sini, malam tadi
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.26 malam.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hasri Haslan bergegas ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler, Toyota Avanza dan Proton Saga.
"Terdapat enam mangsa dalam kejadian itu, iaitu pemandu treler itu, dua orang yang menaiki Proton Saga dan tiga lagi dalam Toyota Avanza.
"Pemandu Proton Saga berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak tersepit tetapi tidak sedarkan diri ketika pasukan bomba tiba.
"Anggota kemudian mengeluarkannya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Bustan berkata, seorang penumpang wanita dalam Proton Saga itu pula mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar menggunakan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Jitra.
Beliau berkata, tiga mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dan 50-an yang menaiki Toyota Avanza hanya cedera ringan, manakala pemandu treler berumur 40-an selamat.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1346214/lelaki-maut-kemalangan-3-kenderaan
|