Bot PATI Rohingya sering menyamar nelayan tempatan - Maritim Malaysia
Oleh Hamzah Osman - Januari 8, 2025 @ 11:46am[email protected]

Antara bot yang membawa PATI Rohingya yang diusir oleh Maritim Malaysia baru-baru ini
LANGKAWI: Kedudukan geografi Langkawi yang dikelilingi banyak pulau menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan pencerobohan pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya dari Myanmar, selain kawasan perairan yang luas.
Kemasukan PATI Rohingya ke Langkawi juga adalah disebabkan kedudukan pulau itu di laluan strategik iaitu di utara Selat Melaka dan berhampiran dengan Thailand.
Modus operandi kemasukan bot PATI Rohingya ke Langkawi yang sering menggunakan teknik penyamaran dengan bergerak seakan-akan bot nelayan tempatan, selain dari pergerakan waktu malam sehingga awal pagi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kenyataannya, berkata agensi itu tidak menjadikan kekangan terbabit sebagai penghalang dengan mengatur gerak aset laut serta udara dalam sektor Op GUARD 4.0 bagi mengawal perairan sempadan dari dicerobohi.
Maritim Malaysia berkata, siklon angin bermula Disember hingga Mac membantu menghanyutkan bot PATI Rohingya dari Myanmar itu untuk belayar ke negara sekitar yang penduduknya beragama Islam, sama seperti mereka.
"Bagi menanganinya, Maritim Malaysia kini meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan 'hotspot' menerusi Op GUARD 4.0, juga pemantauan petugas di Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) dan aset udara.
"Menerusi Op GUARD 1.0 yang dilancarkan pada 26 Disember 2022 hingga siri 4.0, beberapa kes cubaan menceroboh perairan negara, khususnya di Langkawi telah berjaya dihalang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Maritim Malaysia menafikan berlakunya kebocoran pada kawasan perairan negara susulan pendaratan 196 etnik Rohingya di Pantai Teluk Yu, di sini, awal pagi Jumaat lalu.
Katanya, data menunjukkan kesiapsiagaan dan kekerapan operasi dilakukan agensi itu berjaya mengawasi perairan utara Semenanjung daripada pencerobohan etnik Rohingya.
"Tiada berlaku kebocoran perairan negara selepas data menunjukkan sifar kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar iaitu etnik Rohingya ke negara ini, khususnya di perairan Langkawi di antara 2023 dan 2024.
"Selain Maritim Malaysia, Op GUARD adalah operasi bersepadu bagi membanteras PATI yang turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia; Pasukan Polis Marin dan Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
Untuk rekod, kumpulan terakhir etnik Rohingya masuk ke Langkawi adalah pada 23 Disember 2022 membabitkan keseluruhan 36 orang.
Pada Ahad lalu, media melaporkan Kerajaan Kedah mahu agensi keselamatan dapat mengambil tindakan tegas memastikan perairan negara sekitar Langkawi, tidak lagi dibolosi bot membawa PATI.
Dalam laporan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dipetik berkata, perkara itu perlu diambil serius oleh agensi bertanggungjawab menjaga perairan negara bagi mengelak kejadian berlaku Jumaat lalu, berulang.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1346358/bot-pati-rohingya-sering-menyamar-nelayan-tempatan-maritim-malaysia
|