Kuala Lumpur: Pendatang asing tanpa izin (pati) dari Myanmar yang terkandas di perairan Langkawi, Kedah, pada minggu lalu, disyaki memasuki negara ini secara sendiri tanpa menggunakan khidmat sindiket.
Itu modus operandi terbaharu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hasil soal siasat dilakukan terhadap 196 pati Myanmar yang ditahan polis di Pantai Teluk Yu, pada 3 Januari lalu.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, siasatan mendapati kesemua pati yang ditahan itu termasuk tekong dan kru bot.
"Hasil soal siasat mendapati etnik Rohingya masuk ke Malaysia kali ini berbeza, yang mana mereka melarikan diri bukan melalui sindiket.
"Berbanding kemasukan sebelum ini, tekong dan kru akan melarikan diri. Namun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti situasi sebenar," katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, Mohd Rosli berkata, Maritim dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat untuk mengenal pasti dalang sindiket yang mungkin terbabit membawa masuk pati.
Beliau berkata, kesemua pati ditahan itu ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik Kedah.
"Siasatan APMM mendapati hanya tiga bot belayar dari Sittwe, Myanmar sejak Disember lalu berikutan siklon angin.
"Bot pertama ditahan polis manakala dua bot lagi berjaya diusir dari perairan Malaysia dengan diiringi oleh aset Maritim dibantu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pada jam 7 pagi, 4 Januari lalu," katanya.
Katanya, aset laut dan udara kini diaturgerak dan diletak dalam sektor Op Guard 4.0 bagi mengawal perairan sempadan dari dicerobohi.
Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan 'hotspot' dan pemantauan di Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) serta aset udara juga dipertingkatkan untuk mengawasi pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara.
Kata beliau, pertukaran maklumat dengan pihak berkuasa negara jiran seperti Thailand dan Indonesia juga giat dilaksanakan selain meneruskan kerjasama dengan komuniti maritim setempat bagi penyaluran maklumat yang pantas.
Terdahulu, media melaporkan sejumlah kira-kira 200 etnik Rohingya yang menaiki sebuah tongkang mendarat di Pantai Teluk Yu, berhampiran Ayer Hangat, Kedah.
Maklumat pendaratan kumpulan pendatang asing itu tersebar menerusi media sosial selepas dikongsi penduduk tempatan.
Susulan itu, APMM melancarkan operasi bagi mengesan saki-baki pati dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.