Objek mencurigakan tiada kandungan bahan letupan
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Januari 9, 2025 @ 3:02pm [email protected]

Anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM melakukan siasatan dan menyahaktifkan objek mencurigakan menyerupai bahan letupan di laluan pejalan di Lebuh Sungai Pinang 7
GEORGETOWN: Satu objek mencurigakan menyerupai bahan letupan, ditemukan di tepi jalan Lebuh Sungai Pinang 7 di sini, hari ini.
Bahan itu ditemukan polis selepas menerima maklumat daripada orang awam pada jam 9.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan dijalankan pihaknya selepas maklumat diterima.
Katanya, susulan itu Unit Pemusnah Bom (UPB) turut ke lokasi bagi pemeriksaan bersama Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
"Objek itu kemudian berjaya dinyahaktif pada jam 11.50 pagi.
"Analisa awal mendapati objek berkenaan adalah diperbuat daripada kertas, wayar dan simen serta tidak mengandungi sebarang bahan letupan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rozak berkata, lokasi berkenaan disahkan selamat dan dibuka semula kepada orang awam pada jam 12.15 tengahari.
Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian itu.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar berita palsu mengenai kejadian ini sehingga boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya lagi.
Terdahulu di lokasi, laluan berkenaan ditutup kepada pengguna jalan raya bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1346961/objek-mencurigakan-tiada-kandungan-bahan-letupan
|