Alor Setar: Kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang di Taman Tunku Tabor, di sini, sejak petang semalam, ditemukan lemas di Sungai Kedah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, jasad Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle ditemukan di tebing sungai itu, kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di taman perumahan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa 5.40 petang semalam.
"Ibu kanak-kanak itu menyedari kehilangannya, 4.30 petang. Susulan laporan kehilangan mangsa, usaha mengesan mangsa bermula jam 6 petang membabitkan kekuatan 30 anggota.
"Pencarian awalnya di kawasan taman perumahan dan darat serta pesisir Sungai Kedah," katanya pada sidang media di lokasi penemuan mangsa.
Siti Nor Salawati berkata, anggota IPD Kota Setar melakukan pencarian bermula 7.45 pagi tadi, sebelum menemukan jasad mangsa, 8.12 pagi.
Katanya, anggota polis ternampak tangan mangsa sebelum berjaya memegangnya untuk dibawa naik ke tebing sungai.
"Mangsa ditemukan lemas dalam keadaan tidak berpakaian dan jasadnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya.
Siti Nor Salawati berkata, terdahulu, pihaknya menemukan pakaian dan selipar kanak-kanak itu di sekitar tepi longkang di seberang rumah, kira-kira 20 meter dari kediamannya.
"Kanak-kanak itu dipercayai memakai lampin pakai buang tetapi membukanya dan berjalan menuju ke sungai sebelum terjatuh," katanya.
Media semalam melaporkan, kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan hilang berhampiran kawasan kediamannya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa.
Operasi pencarian dilakukan anggota IPD Kota Setar dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, bermula petang semalam.