Rokok putih RM1.4 juta diisytihar sebagai pakaian lusuh
Oleh Nur Izzati Mohamad - Januari 15, 2025 @ 1:30pm [email protected]

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali ketika sidang media rampas kes penyeludupan kontraban membabitkan sitaan minuman keras dan rokok putih import. - NSTP/ DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar taktik menyeludup rokok putih dengan mengisytiharkannya sebagai pakaian lusuh.
Taktik itu dikesan susulan operasi dijalankan JKDM Pulau Pinang di Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 Disember lalu.
Hasil operasi kira-kira jam 11.20 pagi itu, sejumlah 22,500 karton mengandungi 4.5 juta batang rokok putih ditemui dalam sebuah kontena dari Thailand, sebelum ia disita untuk tindakan lanjut.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali, berkata pemeriksaan mendapati rokok putih terbabit disembunyikan di sebalik 175 karton pakaian lusuh dan terpakai.
"Semua barangan disyaki tak berkastam ini dianggarkan bernilai hampir RM1.4 juta, dengan cukai hampir RM4.5 juta.
"Rokok putih diimport diklasifikasikan Barang Larangan Import dan tertakluk di bawah Item 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya ketika sidang media hari ini.
Rohaizad berkata, tiada tangkapan dilakukan hasil operasi itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berasingan, JKDM Pulau Pinang dengan kerjasama Cawangan Siasatan Khas (CSK) Ibu Pejabat turut menyita 52,790 tin minuman keras bernilai lebih RM1.18 juta yang mana syarikat terbabit menggunakan alamat palsu, hasil operasi jam 11.20 pagi, 12 Disember lalu.
Barang dagangan itu ditemui di sebuah kontena dari sebuah negara di Asia Timur yang pada mulanya diisytiharkan sebagai perabot.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1349538/rokok-putih-rm14-juta-diisytihar-sebagai-pakaian-lusuh
|