![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/filefield_paths/sbw-ub160125-as-buka-p1.jpg)
PPS di Dewan Datuk Aaron Ago Dangang dibuka pada 2.30 petang semalam. - Gambar APM
KANOWIT: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Datuk Aaron, Bawan, bagi menempatkan mangsa kebakaran Rumah Paulus Yan, Sungai Bawan semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan, berkata PPS tersebut dibuka pada jam 2.30 petang dengan menempatkan 15 keluarga, yang terdiri daripada 56 orang mangsa kebakaran.
Bagaimanapun, bilangan mangsa telah menurun kepada 14 keluarga dan 32 orang, setakat jam 8 pagi ini.
Sementara itu, bilangan mangsa yang ditempatkan di PPS di Kompleks Sukan Kanowit akibat bencana banjir terus meningkat.
Jumlah mangsa yang terjejas kini meningkat kepada 35 orang, berbanding 22 orang pada hari pertama pembukaan PPS pada Isnin.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di Sibu dan Kanowit telah menyebabkan lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/filefield_paths/sbw-ub160125-as-buka-p3.jpg)
Anggota APM membantu mengagihkan barang keperluan kepada mangsa. - Gambar APM
Antara kawasan yang terjejas akibat banjir termasuk Rumah Leo Nanga Lipus, Rumah Alice Jimmy, Rumah Alexander Batu 12, Rumah Geoffrey, Rumah Joseph Rantau Kemiding, serta beberapa rumah persendirian.
Pihak berkuasa telah mengarahkan supaya operasi pemindahan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk yang masih terperangkap akibat banjir.
Keadaan cuaca yang tidak menentu dijangka akan terus memberi risiko kepada kawasan yang terlibat.
Anggota APM mengangkut barang keperluan untuk kegunaan mangsa di PPS tersebut. - Gambar APM
Oleh itu, penduduk di sekitar kawasan banjir diminta untuk terus berwaspada.
PPS di Kompleks Sukan Kanowit dijangka akan beroperasi sehingga keadaan banjir benar-benar pulih dan mangsa dapat kembali ke kediaman mereka dengan selamat.
|