Edited by sfhzuraz at 17-1-2025 01:13 PM
ZPP, Wakaf Pulau Pinang dijenamakan semula untuk tingkatkan pencapaian
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
17 Januari 2025 12:41pm

Mohamad bergambar bersama semua wakil agensi agama Islam yang menghadiri Majlis Himpunan Agensi-Agensi Agama Islam Pulau Pinang dan Penjenamaan Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di Kepala Batas.
KEPALA BATAS- Dua agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) iaitu Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Wakaf Pulau Pinang telah dijenamakan semula sebagai Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, Mesyuarat MAINPP pada Disember lalu telah meluluskan penjenamaan semula kedua-dua agensi berkenaan.
Menurutnya, prestasi serta pencapaian positif yang ditunjukkan oleh Wakaf MAINPP dan Zakat MAINPP menerusi peningkatan nilai kutipan zakat di Pulau Pinang pada tahun 2024 membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kedua-dua institusi tersebut.
]
Mohamad
"Walaupun kita telah mendapat keyakinan masyarakat, kita tidak boleh selesa dengan pencapaian ini kerana situasi serta ekosistem ekonomi yang dinamik memerlukan adaptasi institusi zakat dan wakaf yang lebih progresif.
"Penjenamaan semula Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP adalah langkah transformasi bagi membolehkan kita terus melonjakkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi untuk berdepan dengan cabaran pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Himpunan Agensi-Agensi Agama Islam Pulau Pinang dan Penjenamaan Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini pada Khamis.
Mohamad yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata, transformasi itu juga tidak hanya terhad kepada penjenamaan nama dan logo sahaja malah berdasarkan transformasi terhadap peranan, strategi dan tadbir urus secara berkesan yang dimainkan oleh Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP.
"Hal ini sangat penting bagi memastikan segala gerak kerja dan perancangan pembangunan umat Islam dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Selain itu, perubahan dan anjakan dasar ke arah tatakelola yang lebih mampan akan terus dimartabatkan mengikut tuntutan semasa demi kesejahteraan ummah di negeri ini.
"Transformasi ini adalah sejajar dengan konsep pengurusan melalui teori kitaran hayat produk atau ‘Product Life Cycle’," tambahnya.
Beliau berkata lagi, kedudukan institusi Zakat MAINPP dan Wakaf MAINPP kini berada di 'mature stage' dan seterusnya akan memasuki 'decline stage' sekiranya tiada tindakan diambil bagi menjenamakan semula dan memposisikan kedudukan institusi itu pada ‘growth stage’ yang lebih segar dan berdaya saing.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, hubungan baik setiap agensi agama Islam Pulau Pinang amat penting untuk memacu kegemilangan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 pada masa akan datang.
Jelasnya, Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 menjadi satu gagasan penting untuk dihayati dan difahami setiap kakitangan agensi-agensi Islam Pulau Pinang.
"Ia bertitik tolak pada lima teras utama iaitu Pembangunan Sosio ekonomi; Pembangunan Pendidikan; Pembangunan Keluarga; Pembangunan Anak Muda serta Pembangunan Dakwah dan Tarbiah.
"Agenda ini dapat menonjolkan komitmen serius kerajaan negeri di bawah portfolio Exco Pembangunan Agama Islam untuk mengembalikan kegemilangan ummah khususnya di negeri ini," tambahnya.
Beliau berkata lagi, kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak khususnya agensi Islam di bawah pentadbiran kerajaan negeri adalah amat baik dalam usaha memperkasakan rakyat bersama agensi-agensi berkenaan.
"Ia bagi membolehkan matlamat visi Penang 2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dapat dicapai menjelang 2030.
"Saya meletakkan keyakinan dan harapan agar semua pihak seiring dengan aspirasi kerajaan negeri dengan memberi sokongan padu dalam merealisasikan Agenda Pembangunan Agama Islam negeri Pulau Pinang 2030," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/707712/edisi/utara/zpp-wakaf-pulau-pinang-dijenamakan-semula-untuk-tingkatkan-pencapaian
|