Kebaikan dan kelebihan daging rusa menarik minat orang ramai apatah lagi sifatnya yang rendah lemak dan kolesterol, tinggi protein dan zat besi. Harga yang mencecah RM70 sekilogram tidak menghalang penggemarnya ‘memburu’ daging haiwan eksotik ini.
Jika dibandingkan dengan ayam, lembu dan biri-biri, rusa adalah pilihan terbaik. Potensi industri ternakan rusa menarik minat seorang jurutera Nor Azhar Mohd Noor, 42, dari Padang Terap, Kedah, untuk menceburi bidang penternakan haiwan itu. Bermula sebagai hobi menternak rusa secara sambilan sejak tujuh tahun lalu, kini ia berkembang maju. Dulu dia hanya memiliki lima rusa, kini jumlahnya bertambah berkali ganda.
Justeru, beliau mengambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang itu. “Saya membuka ladang ternakan di Kampung Semeliang,” katanya. Menurut Nor Azhar, rusa adalah haiwan yang mudah diternak jika tahu pengurusannya. “Kita perlu tahu habitat dan diet pemakanannya. “Di Malaysia terdapat dua jenis rusa iaitu Timorensis dan Axis-axis,” katanya.
Rusa jenis Timorensis katanya lebih mudah diternak kerana sifatnya yang lasak dan tahan serangan penyakit. Kini, Pusat Penternakan Rusa Kampung Semiliang ini membiak 200 rusa di ladang seluas 2.4 hektar itu. Pusat itu kini menjadi antara pembekal utama baka rusa kepada bakal penternak di seluruh negara. “Ada kalanya, kita tidak mampu membekalkan daging mentah kerana permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan,” katanya. Menariknya, ladang ini turut menghasilkan makanan rusa dari jenis rumput barli.
Dengan menggunakan teknologi Fodder Solutian dari Australia, Nor Azhar dapat menghasilkan enam kilogram rumput. “Ia hasil percambahan satu kilogram benih dan mampu dituai dalam masa enam hari selain secara organik,” katanya. Perkembangan positif ini menarik minat pelbagai agensi kerajaan untuk menjalinkan kerjasama dengannya. Ladangnya kini menjadi pusat latihan yang diiktiraf Jabatan Veterinar Malaysia bagi melahirkan bakal usahawan tani dalam bidang penternakan rusa. Malah, banyak institut pengajian tinggi menghantar pelajar mereka berkursus dan menjalani latihan amali di pusat itu.
Peserta diberi pendedahan bermula pada peringkat awal penternakan, memproses rumput barli, menyembelih dan melapah dagingnya serta aspek pemasaran. Nor Azhar turut dilantik sebagai mentor Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA).
“Saya turut membuka ladang untuk lawatan orang ramai dan merancakkan bidang agro-pelancongan di Kedah. “Pelbagai kemudahan disediakan seperti enam unit chalet, dewan berhawa dingin dan tempat barbeku,” katanya. Kejayaan Nor Azhar membolehkan beliau menerima Anugerah Penternak Jaya Kedah 2014 dan Anugerah Ilham Desa Malaysia. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/32785#sthash.60C6oZWB.dpuf
|