Edited by tongkatwaran75 at 23-10-2017 04:56 PM
23/10/17
KUCHING: Seorang remaja berjaya membangunkan satu aplikasi buku teks digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada buku dalam bentuk fizikal. Ahmad Zulfadzli Khamidi, 13, membangunkan aplikasi itu dalam tempoh dua minggu hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) di Borneo744, Bintawa.
Ujar Zulfadzli, idea itu tercetus daripada pengalamannya sendiri yang cepat berasa bosan dan mengantuk apabila membaca buku teks.
“Bagaimanapun, saya menghadapi kesukaran untuk merealisasikan impian itu. Saya ada idea tetapi tidak tahu bagaimana untuk membangunkan aplikasi serta menulis kod untuk perisian itu,” ujarnya.
Dia dan ibunya yang berkunjung ke Borneo744 untuk meminta pandangan mengenai hal itu berasa terkejut apabila mengetahui program untuk mempelajari prinsip asas pengekodan ada ditawarkan secara percuma di sana.
Katanya, guru tidak lagi perlu menanda setiap latihan dan kertas peperiksaan.
Murid juga tidak perlu membawa buku ke sekolah dan isu kehilangan buku atau kekurangan alat-tulis boleh ditangani.
“Aplikasi ini sangat mudah dan sesuai untuk semua golonagan pelajar seperti sekolah rendah, menengah dan pelajar universiti.
“Untuk permulaan, buku teks subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains sudah diprogramkan dalam aplikasi itu. Subjek lain akan menyusul kemudian,” ujarnya lagi.
Rekaan Zulfadzli itu melayakkan beliau memenangi kategori junior di Hack Weekend KCH iaitu pertandingan hackathon yang dianjurkan sempena Forum Remaja Tegas 2017 di Pusat Konvensyen Borneo pada 14 Oktober lalu.
Zulfadzli kini dalam proses untuk menyiapkan aplikasi keduanya bagi membantu usahawan kecil di Sarawak untuk memasarkan produk mereka.
|