|
Seorang askar Pengawal Kebangsaan Di Venezuela ditahan hujung minggu lalu atas tuduhan menembak seorang wanita yang berusia 18 tahun.
Lebih menyayat hati, wanita itu dilaporkan sedang hamil dan ia dikatakan berpunca daripada pergaduhan kerana kekurangan bekalan daging babi.
Mangsa dikenali sebagai Alexandra Colopoy yang hamil lima bulan ditembak mati oleh Sarjan Pertama David Rebolledo seperti yang dipaparkan dalam tweet oleh pendakwa raya negeri pada Ahad.
Pengkritik kerajaan berhaluan kiri menyifatkan kejadian itu sebagai salah satu contoh yang jelas kepada krisis ekonomi di negara itu.
Menurut media tempatan, suami mangsa dan beberapa orang lagi saksi memberitahu sepasukan askar tiba di kawasan miskin di Caracas untuk membeli daging babi, dalam keadaan mabuk.
"Suspek naik gila dan mula melepaskan tembakan, isteri dan abang saya ditembak, tetapi abang saya selamat dan sedang dirawat,” kata suami mangsa, Bernabe.
Negara Venezuela kini mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk sejak empat tahun lalu.
Ini menyebabkan berjuta-juta penduduk tidak menerima kenaikan gaji dan menyebabkan sukar mendapatkan makanan yang cukup. - CARI |
|