“Mangsa meronta-ronta sakit ketika badannya sedang terbakar dan waktu itu saya serta beberapa jemaah masjid cuba membantu memadam api yang marak."
Itu yang dikatakan oleh Nordin Ahmad, 58 yang juga merupakan pengawal masjid Hasanah, Taman Rakyat, Mergong.
Dia merupakan saksi terawal yang ternampak kejadian bilal di situ disimbah minyak tanah sebelum dibakar, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku ketika jemaah datang ke masjid untuk menunaikan solat Subuh pagi tadi.
Saksi ini berkata dia ternampak seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di luar perkarangan masjid.
Kredit foto: Harian Metro
“Saya mengesyaki sesuatu kerana penunggang motosikal itu berlegar-legar di tempat kejadian.
“Biasanya Amri Bidin yang juga bilal masjid ini datang awal dan terus masuk ke dalam untuk mengazankan solat Subuh tetapi hari ini dia sampai seperti biasa tetapi tak masuk lagi ke dalam masjid,” katanya.
Selepas itu, dia ternampak api mula marah di hadapan masjid dan terdengar mangsa menjerit kesakitan.
Mangsa, Amri Budin, 65 melecur teruk di muka, tangan dan badan sebelah kiri.
Dalam pada itu, menurut menantu mangsa, Jarina Awang, 44 bapa mentuanya kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Dia berada dalam keadaan sedar tetapi muka, tangan dan badannya melecur dan ada bahagian kulitnya telah mengelupas.
“Abang ipar sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9 pagi tadi dan saya harap polis dapat menahan individu berkenaan,” katanya. - CARI |