View: 7316|Reply: 0
|
Buang ujub bersarang di hati
[Copy link]
|
|
Buang ujub bersarang di hati
ZIKIR yang ikhlas dapat mengikis sifat keji yang bersarang di sanubari.
Manusia dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat yang mana antara seorang dengan seorang lain ada perbezaan dan kelainannya. Ada antaranya yang dilimpahi potensi daya intelektual yang tinggi, ada pula yang dikurniakan dengan nikmat rupa paras yang cantik, dan pelbagai lagi nikmat yang Allah berikan kepada setiap hamba-Nya.
Dalam mengingatkan manusia agar tidak taasub dan kagum dengan kelebihan yang ada
pada diri sendiri, maka Allah memberikan panduan kepada kita supaya mengawasi hati daripada terjerumus dalam bisikan syaitan yang meniupkan rasa bangga terhadap diri sendiri. Ujub adalah salah satu sifat tercela yang amat dimurkai Allah dan sewajarnya kita berusaha supaya perasaan buruk ini tidak menetap di dalam hati kita.
Imam Sufyan Ats-Tsauri pernah memberitahu bahawa, "Sifat ujub adalah kekagumanmu terhadap dirimu sendiri, sehingga kamu berasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada saudara kamu. Sedangkan boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah dan lebih tulus amalnya." Menerusi perasaan ujub akan merebak membentuk jaringan sifat mazmumah yang lain, iaitu sombong, takbur dan iri hati. Sebab itulah Allah awal-awal lagi sudahpun memperingatkan kita semua supaya tidak sekali-kali membiarkan penyakit ujub membiak dalam hati sanubari.
Sebenarnya perasaan ujub merupakan strategi syaitan dalam meruntuhkan iman Muslim kerana penyakit ujub begitu mudah dipasang dalam hati meskipun dia seorang yang berilmu pengetahuan agama yang luas dan mendalam. Imam Ibnu al-Mubarak ada mengungkapkan, "Perasaan ujub adalah ketika engkau berasakan dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh insan yang lain. Apapun kelebihan yang kita miliki, semuanya adalah anugerah Allah yang tidak seharusnya didabik dada mewar-warkan bahawa dirinya sahajalah yang hebat dan betul."
Ambillah iktibar bagaimana buruk dan teruknya perasaan ujub Qarun yang sanggup mengatakan bahawa kekayaan harta yang dimilikinya adalah atas usaha dan kebijaksanaan akalnya dan sekaligus menafikan Allah sebagai pemberi nikmat tersebut. Lalu dengan penuh rasa takbur dan sombong menghebahkan bahawa segala kekayaannya adalah atas kegigihan dan kecekapannya mencari rezeki sehingga menjadi seorang yang kaya-raya. Apakah kesudahannya terhadap Qarun? Ya, kita sedia maklum menerusi sirah silam bahawa Allah timpakan bala petaka terhadapnya sebagai balasan keujuban diri yang penuh dengan sikap sombong dan takbur.
Dalam Surah Luqman ayat 18 Allah berfirman yang bermaksud, "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri." Inilah nasihat dan inilah juga amaran Allah kepada kita yang tidak seharusnya diketepikan kerana impaknya amat buruk sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.
Tanggapan atau persepsi bahawa diri sendirilah yang lebih hebat berbanding orang lain merupakan petanda penyakit hati yang kronik dan seandainya seseorang tidak menyedari bahawa dirinya sudah hanyut dalam sifat mazmumah keji itu, maka dibimbangi segala amal ibadahnya dan kerja kebajikannya akan terlucut segala pahala di sisi Allah. Ini kerana pelaku amal ibadah dan amalan soleh yang dilakukan dalam rasa ujub dengan diri sendiri merupakan sesuatu yang dibenci oleh Allah. Justeru, masakan Allah masih memberikan ganjaran pahala buat manusia semacam ini!
Sesungguhnya penyakit ujub amat berbahaya kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk terhadap golongan ilmuwan Islam dan kepada para pendakwah. Ilmuwan Islam mahupun yang bergelar da'i atau pendakwah yang tidak cekap dalam mengelolakan hati boleh terjebak secara serius dalam penyakit ujub ini. Seandainya ada kita mendengar sesiapa sahaja pendakwah yang mengangkat dirinya sebagai yang terbaik dan mempunyai kelebihan ilmu berbanding pendakwah lain, maka sahlah orang itu sudah 'diserang' penyakit hati yang keji, iaitu ujub.
Orang lain semuanya tak betul kerana beranggapan secara penuh taksub hanya dirinya sahaja yang tepat adalah petanda penyakit ujub sudah bertapak dalam hati dan jiwanya. Hati-hatilah kerana penyakit ujub ini meskipun bersarang di hati, tetapi kelibat karakternya jelas menerusi lidah dan perbuatan seseorang. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang bertanyakan soalan, mengapakah golongan pendakwahpun masih boleh diserang penyakit ujub?
Ya, mudah jawapannya kerana apabila seseorang dibuai puji-pujian melampau dan berasakan popularitinya sedang hangat dalam kalangan orang ramai, maka tidak mustahil rasa bangga terhadap keupayaan diri bertakhta di hati. Berwaspadalah! Dalam ceramah, penuh dengan ribuan manusia, facebook dan blog peribadi mendapat 'like' yang teramai, maka silap langkah hati boleh berasa syok dengan kejayaan ini. Lalu timbullah ujub dan hati mula berjerebu dengan sifat ujub.
Ingatlah Islam sejak awal lagi sentiasa bertindak menutup segala ruang yang sekecil-kecilnya yang mana akhirnya dibimbangi akan mencetuskan kerosakan yang besar pada jiwa dan hati seseorang. Mari kita renungkan sejenak kisah ini dan mari kita kaitkan dengan tema wacana kita berkenaan penyakit ujub ini. Dikatakan bahawa Rasulullah SAW melarang para sahabatnya untuk berdiri dari tempat duduk sebagai tanda hormat ketika menyambut dan meraikan kedatangan Baginda. Ini diperakui sendiri oleh Anas bin Malik yang mana beliau mengatakan, "Tidak seorangpun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah SAW (kehadirannya), mereka tidak berdiri untuk Baginda. Ini kerana mereka mengetahui bahawa Baginda membenci perkara tersebut." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Kisah ini sebenarnya satu hikmah dan pengajaran yang disampaikan oleh Baginda SAW supaya seseorang mukmin tidak dihanyutkan oleh rasa bangga diri sendiri dan Baginda sendiri menunjukkan satu contoh teladan semasa hayatnya. Kata Imam Ibnu Qayyim, "Salah satu tanda kebahagiaan dan kejayaan adalah tatkala seseorang itu semakin bertambah ilmunya, maka semakin bertambah pula sikap tawaduk dan kasih sayangnya. Dan semakin bertambah amalnya, maka semakin meningkat pula rasa takut dan waspadanya." Ini pesanan yang baik dan perlu kita semua hayati supaya hati kita terhindar daripada penyakit ujub yang keji.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... b-bersarang-di-hati
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|