Edited by maklukpenggoda at 20-10-2024 12:46 PM
KUALA LUMPUR – Pewaris jenama Zaitun mencuri perhatian netizen di media sosial apabila melangsungkan perkahwinan dengan persandingan eksklusif yang dihadiri 300 tetamu terdiri daripada keluarga dan teman rapat.
Lebih menarik, pewaris bagi jenama yang popular era 1980-an iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Datuk Seri Mohd Kamal Teh, 27, memilih Norizzati Muhamad Noor, 29, sebagai isteri.
Pasangan itu bernikah di Astana Bamboo Hills baru-baru ini selepas mengadakan majlis persandingan di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Nizam yang kini menggalas tanggungjawab mengendalikan semula Zaitun Beauty Industry Sdn. Bhd. memberitahu, beliau berkawan dengan Norizzati selama empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 17 April 2024.
“Majlis nikah diadakan dengan konsep white minimalist dan majlis sanding diadakan pada di Grand Hyatt Kuala Lumpur pula hanya dihadiri keluarga dan teman rapat.
“Saya mengharapkan agar ikatan yang dibina kekal bahagia dan jika ada rezeki saya mahukan anak yang ramai kerana saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang besar dan punya enam adik beradik.
Masih mengekalkan tagline ‘gunakan tanpa was-was’, Nizam turut berkongsi nilai jenama Zaitun yang dibangunkan oleh bapanya, Datuk Seri Mohd Kamal Teh dan datuknya, Datuk Seri Mutiara Haji Dr. Eusuff Teh.
“Ramai yang beranggapan nama Zaitun mungkin nama wanita Istimewa dalam keluarga kami, sebenarnya nama ini diberikan oleh datuk yang terinsipirasi dengan surah At-Tin,” kongsi Nizam.
Mengulas lanjut, Nizam berharap alam perkahwinan menjadi kebangkitan buat diri dan keluarga untuk membina kembali empayar perniagaan yang diwariskan bapanya.
Tambahnya, jenama Zaitun sudah mula kembali menguasai pasaran tempatan sejak dua tahun lalu secara berperingkat dan kini berjaya menembusi pasaran negara jiran di Singapura dan Brunei.
“Saya menikmati zaman kanak-kanak kerana sentiasa ada adik beradik di sisi. Jadi saya mahu anak-anak juga melalui zaman kecil yang bahagia dan meriah,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.
Beliau turut berkongsi, produk Zaitun juga kini boleh didapati di beberapa pasaraya antaranya Lotus, Giant, Segi Fresh, Healthlane, Caring Pharmacy, Big Pharmacy, dan banyak lagi pasaraya di seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette
|