|
Untung nasib hidup kita bukannya boleh diramal. Jika dulu pernah hidup melarat, tidak selama­nya begitu. Rezeki di bumi Allah SWT ini luas dan jika mahu hidup senang harus rajin berusaha dan kerja keras.
Mukadimah SS ini ada kaitan dengan gosip yang ingin SS sampaikan ini. Dulu artis wanita ini sang­gup meninggalkan tunangnya kerana lelaki itu bukan orang senang.
Artis terbabit kemudian berkahwin dengan seorang lagi artis yang namanya cukup popular.
Di awal perkahwinan semuanya indah belaka, tetapi biasalah rumah tangga mana yang tidak dilanda ombak. Tidak banyak, sedikit pasti tidak terlepas ujian Yang Maha Esa. Semuanya adalah untuk menguji kesabaran dan kesetiaan pasangan suami isteri itu sendiri.
Hendak dijadikan cerita, dalam satu acara, artis wanita itu tadi bertemu semula dengan bekas tunangnya yang kini sudah hidup mewah. Pertemuan itu kembali mengungkit sejarah lama mereka berdua dan sejak detik itu mereka kembali berhubung.
Artis wanita itu mula menceritakan masalah rumah tangga yang dihadapinya. Entah betul entah tidak atau hanya sekadar mainan bicara untuk menarik perhatian mengenang­kan lelaki yang pernah ditinggalkannya itu kini bergelar hartawan sedangkan suaminya masih di tahap yang sama.
Barangkali baru terbit rasa menyesal kenapa dulu dia tidak mengahwini bekas tunangannya itu. Kalau tidak pasti sekarang tidur ‘bertilam emas’.
Segala luahan didengari bekas tunangnya, apatah lagi perasaan sayang di hati bekas tunangnya itu masih menebal kerana dia adalah cinta pertama lelaki terbabit.
Bagaimanapun, kerana sedar bahawa keadaan tidak boleh kembali seperti dulu kerana status artis wanita itu sebagai isteri orang, bekas tunangnya menasihati supaya artis wanita itu kembali taat kepada suaminya.
Malah, bekas tunangnya berpesan jika suatu hari rumah tangga artis wanita itu dan suaminya sudah tidak mampu diselamatkan lagi, dia sanggup mengahwini artis wanita itu kerana perasaan sayang yang masih ada.
Tersentuh perasaan SS mendengar gosip yang disampaikan ini. Lelaki kalau benar cintakan seseorang perempuan, biar pernah diperlakukan seperti sampah, tetap juga sanggup mereka terima.
Tetapi sesetengah lelaki, dapat perempuan baik macam mana sekalipun kalau mereka tidak cinta, menangislah air mata darah sekalipun, akhirnya derita seorang perempuan itu hanya sia-sia. Jadi, hargailah mereka yang menyayangi kita.
SS: Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/24
|
|