|
KUALA LUMPUR: Di Malaysia boleh dikira dengan jari pelakon yang berani memegang watak lelaki lembut atau berpakaian seperti wanita.
Tak kira menerusi drama atau teater lebih bersifat gurauan dan menyerlahkan sisi lucu melalui aksi liuk lentuk, lenggang lenggok dan solekan mampan, watak itu bukan semua pelakon lelaki mampu lakukannya.
Hakikatnya, di negara kita ada pelakon lelaki yang berani mengambil watak seumpama itu antaranya Imuda, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Awie, Fizz Fairuz, Rusdi Ramli, Norman Hakim, Dafi dan Amerul Affendi.
Terbaharu pelakon dan ahli perniagaan, Ezany Nizariff pula buat pertama kali melakonkan watak itu dalam super telefilem terbitan Zeel Production bagi siaran Astro.
Dalam super telefilem arahan Sabri Yunus itu, Ezany memegang watak sebagai Che Puteh, lelaki lembut yang bekerja sebagai tukang jahit di kampungnya dan pada masa yang turut menjadi penari hadrah pada sebelah malam. Penggambaran super telefilem ini dilakukan di Perlis baru-baru ini.
Pengalaman pertama melakonkan watak sedemikian diakui Ezany cukup mencabar. "Susah juga nak jadi 'wanita' dalam cerita ini. Kusut jadinya sebab nak kena pakai bulu mata tebal dan coli. Ia pengalaman yang cukup menyeksakan namun saya cabar diri.
Sekarang saya mula tahu betapa susah jadi penari latar di TV. Saya juga perlu menari dalam cerita ini. Tambah pula kena menari depan orang tetapi ketika sesi latihan tak ramai yang tengok.
Che Puteh hanya memakai wanita ketika menjadi penari hadrah sahaja. "Biasalah menjalani penggambaran di kampung, memang ramai yang berpusu datang ke set. Gementar punya fasal, habislah lupa langkah tarian. Mujurlah saya menari tanpa perlu pakai kasut tinggi. Bayangkan kalau saya kena menari pakai kasut tinggi, ke laut jadinya nanti.
Yang bertambah lucu, ketika memakai perempuan... ramai yang tak perasan itu saya. Hinggalah saya bercakap, baru pecah lubang. "Memandangkan Che Puteh ini seorang tukang jahit, jadi dia memang gemar bereksperimen pelbagai fesyen kebaya dan baju kurung," katanya. Menurut Ezany, watak ini sebenarnya cukup menguji mentalnya.
Sabri selaku pengarah tidak mahu Che Puteh ini menjadi lelaki yang terlalu lembut.
"Jadi saya kena berada di tengah, tak boleh menjadi lelaki terlalu keras dan lembut perwatakannya. Di sebalik semua ini, Sabri cuba menyampaikan mesej bahawa orang Melayu mesti pertahankan budaya dan tarian zaman dahulu seperti Hadrah asalkan tidak keterlaluan serta melanggar batas agama," katanya kini yang berdepan kemelut rumah tangga yang belum berkesudahan dengan isteri, Lizda Nuryanti Abidin Super telefilem Che Pa dijangka bersiaran pada Februari 2016 di Astro Box Office.
Selain berlakon, Ezany juga sibuk dengan perusahaan produk makanan seperti kicap, belacan dan sos.
- BERITA HARIAN
|
|