Begitulah kisahnya dengan pelakon dan pengarah, Azma Aizal Yusoof atau nama sebenarnya, Muhamad Ismaizal Yusoof, 33, yang menganggap, segala aturan kehidupan ibarat satu anugerah kepada dirinya.
Pernah dikatakan gila, masuk ke pusat pemulihan dan dipenjara selama dua minggu adalah antara ranjau kehidupan Azma.
Tidak menganggap kegagalan itu sebagai satu pengakhiran, Azma tekad bangkit daripada apa yang berlaku dalam kehidupannya.
Baru-baru ini, Mega sempat bertemu dengan jejaka ini yang rela berkongsi tentang kisah kehidupannya.
Niatnya hanyalah satu, mahu apa yang dikongsikan itu menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja.
Salah satu cara yang digunakan oleh Azma untuk menenangkan diri ialah dengan melarikan diri ke satu tempat yang lebih damai.
Atas sebab itu, Azma kini melarikan dirinya daripada kesibukan kota, meninggalkan kehidupan berasaskan wang ringgit semata-mata dan berhijrah ke Pulau Langkawi.
“Sekarang, saya menetap di Langkawi. Di ibu kota, saya menyewa hingga ribuan ringgit dan setiap hari terpaksa fikir mengenai kerja untuk memperoleh wang bagi membayar segala macam bil.
“Di Langkawi, saya menyewa sebuah rumah kayu dengan harga RM400 sebulan dan menggunakan kereta Kelisa. Itu pun isi minyak sekali tetapi boleh digunakan hingga sebulan,” jelasnya.
Satu lagi sebab mengapa dia mahu hidup di Langkawi adalah kerana mahu lari daripada ubat-ubatan yang terpaksa diambilnya kini.
“Saya sakit dan perlu makan ubat. Tetapi sebenarnya ubat itu memberikan saya pelbagai kesan yang akhirnya membuat diri saya bertambah sakit.
“Setiap kali penggambaran saya kena makan ubat. Jadi, saya fikir kenapa saya perlu merosakkan diri saya kerana kerja saya,” jelasnya.
Di Langkawi jelas Azma, ubatnya adalah langit dan udara yang segar. Dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Pemakanannya juga mula dijaga dan hanya memakan makanan organik sahaja.
“Biarlah jauh daripada kota asalkan kehidupan saya tenang dan baik. Kesihatan saya juga semakin bagus,” jelasnya.
Biarpun terpaksa berulang alik antara Langkawi dan ibu kota untuk kerja, jelas Azma, dia tidak pernah menyesal mengambil keputusan itu kerana kesannya kini sangat positif.
Kehidupan Azma tidak diuji dengan penyakit bipolar sahaja. Malah ketagihannya pada dadah dan alkohol menyebabkan dia dimasukkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua minggu.
Namun, bagi Azma, dia menanggap segala dugaan yang diterimanya itu adalah sebahagian daripada anugerah tuhan kepadanya.
Tidak pernah sekalipun jejaka ini menyesal dengan kehidupannya dahulu kerana pengalaman itu yang mengajarnya tentang kehidupan kini.
Bercerita detik dia dimasukkan ke Puspen, jelas Azma, selepas dia dibawa keluar daripada wad psikiatri oleh ibunya, dia masih lagi menagih dadah.
Selepas itu, salah seorang daripada adik-beradiknya yang juga seorang tentera telah menangkapnya dan membawa dia masuk ke Puspen.
“Berada di Puspen memang sesuatu yang mengerikan kerana kawalan ketat kepada semua penagih.
“Di sana, saya hanya diberikan sepasang baju, tidak ada bantal mahupun sabun dan ubat gigi. Tidurlah berbantalkan lengan dan mandi dengan keadaan bogel beramai-ramai,” jelasnya.
Dua minggu berada di Puspen membuatkan dia kenal dengan dirinya semula. Dia kenal dengan pelbagai jenis orang dan pengalaman hidup tersendiri dalam Puspen.
“Saya gembira berada di sana selama dua minggu. Apabila saya keluar, rakan-rakan cuba menyorokkan perkara itu daripada pengetahuan umum.
“Tetapi saya tidak kisah untuk berkongsi pengalaman saya. Hingga kini, saya masih berhubung dengan staf Puspen.
“Mereka sendiri gembira kerana salah seorang penghuni Puspen yang berjaya selepas keluar dan saya sentiasa berharap ini menjadi inspirasi kepada mereka yang masih berada di Puspen,” jelasnya.
Malah, jelas Azma, dia tidak pernah menganggap kegagalan itu sebagai penghujung sedangkan dalam kehidupan boleh sentiasa bangun dan perbaiki diri.
“Sebab itu saya kata Allah adalah perancang yang terbaik kerana saya dimasukkan ke Puspen untuk berkongsi pengalaman saya dan memberi inspirasi kepada semua.
“Sebab itu saya tidak pernah malu dengan kehidupan saya sebelum ini,” jelasnya.
Ditanya bagaimana dia boleh melarikan diri daripada dadah sedangkan ramai lagi yang jalani pemulihan tetapi akhirnya tewas semula, jelas Azma, itu semua adalah pilihan.
“Kehidupan ini adalah pilihan. Masing-masing ada pilihan sendiri. Mengapa kita perlu pilih jalan yang kita sudah tahu akan merosakkan diri?
“Tidak ada gunanya menjalani kehidupan dengan dadah. Contohnya ialah saya. Bergelumang dengan dadah, akhirnya dimasukkan ke hospital,” jelasnya.
Bercerita mengenai penyakit yang dihidapi, Azma mengakui pemikirannya agak berbeza dengan manusia lain.
Malah, setelah mengetahui tentang penyakitnya, banyak kajian yang dilakukan untuk mengetahui lebih mendalam mengenainya.
Menurut Azma, beberapa golongan selebriti antarabangsa dan tokoh ternama yang dikaitkan dengan penyakit bipolar termasuklah Mozart, Jim Carrey, Plato dan Robbie William.
Jauh di sudut hati Azma, dia tidak pernah malu dengan penyakitnya biarpun satu ketika dahulu ada yang menggelarnya sebagai orang gila.
“Penyakit yang saya alami ibarat satu pemberian tuhan dan saya bersyukur. Kesakitan inilah yang menjadikan saya berbeza cara fikir dan memberi kelebihan untuk saya berkarya dalam industri.
“Pernah ada orang kata saya gila tetapi saya tidak ambil kisah. Cakaplah apa sekalipun kerana saya tidak pernah hidup atas pandangan orang lain.
“Saya menjalani kehidupan saya sendiri. Saya tidak pernah takut menyembunyikan kelemahan diri sendiri hanya kerana mahu meneruskan kelangsungan dalam industri seni,” jelasnya.
Mengimbas kembali bagaimana dia mula mengetahui penyakitnya itu, jelas Azma, semuanya berlaku pada tahun 2009.
Tahun itu menyaksikan dia begitu sibuk dengan penggambaran dan kerja yang berterusan hingga terabai waktu rehat.
“Ketika itu, saya lakukan kerja dengan jadual yang padat kerana saya fikir, menghasilkan kerja dengan cepat adalah bagus dan boleh puaskan hati semua orang,” jelasnya.
Dalam kesibukan itu juga, jelas Azma, ketika itu kehidupan sosialnya sangat liar, sering berparti dan mengambil pelbagai jenis dadah dan alkohol.
Tanpa disedari, badannya mula merasakan kesan buruk akibat kehidupan sosialnya itu.
Otaknya mula berfikir perkara yang tidak sepatutnya hingga membuatkan dia sendiri menjadi seorang yang kurus.
“Ketika itu saya mula bercakap mengenai tuhan hingga rakan-rakan menganggap saya sesat,” jelasnya.
Dek kerana risaukan Azma, rakan-rakannya memberitahu ibunya tentang keadaan Azma ketika itu.
Akhirnya dia dimasukkan ke wad psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor.
Diikat pada katil adalah antara pengalaman yang dialami oleh Azma sendiri ketika berada di hospital hinggakan dia tidak dibenarkan untuk bangun membuang air kecil.
“Mereka suruh saya kencing dalam plastik. Memang saya tidak mahu dan saya pun meronta-ronta atas katil hingga mereka lepaskan saya,” jelasnya.
Lapan hari berada di hospital pada bulan Syawal membuatkan ibunya risau dengan keadaan Azma dan mengambil keputusan untuk mengeluarkannya dari hospital.
“Sebenarnya, untuk setahun yang pertama, saya memang tidak boleh terima yang saya menghidapi penyakit bipolar.
“Penyakit bipolar ini sebenarnya boleh mengubah seseorang itu berubah dalam sekelip mata sahaja daripada gembira kepada rasa yang teramat sedih.
“Itu yang buat orang kata saya gila dan saya sendiri tidak boleh terima selama setahun sehinggalah keyakinan itu datang untuk menerima rawatan,” jelasnya.
Kongsinya, pelakon, Syarifah Amani adalah orang yang bertanggungjawab mencari hospital dan membayar kos perubatan ketika dia mula yakin untuk menerima rawatan.
“Menerusi rawatan itu, doktor mengakui saya mengalami penyakit bipolar dan memberi saya ubat untuk mengurangkan sakit saya.
“Ketika itu, saya tidak malu dengan penyakit saya kerana ia sama sahaja dengan orang kurang upaya yang lain cuma sakit saya ini tidak nampak.
“Bagi saya, adalah satu kesedaran untuk saya beritahu kepada orang tentang salah satu daripada penyakit mental yang sebenarnya dihadapi oleh ramai orang.
“Ada yang menganggap sebagai panas baran, ada saka dalam dirilah. Padahal sebenarnya ia adalah sakit mental dan boleh diubati,” jelasnya.