|
KUALA LUMPUR: Pelakon, Zainol Macwilson menyifatkan penyebaran gambar kononnya beliau sudah bernikah dengan seorang wanita pada 19 Jun lalu sebagai mengarut. Zainol atau nama sebenarnya Zainol Mohd Johari Macwilson, 57, menjelaskan, gambar itu adalah daripada babak dilakonkannya dalam drama Dia Semanis Honey edisi Raya yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti. "(Sambil ketawa) awak jangan percaya dengan gosip di internet. Gambar itu hanyalah babak nikah saya dengan seorang pelakon baharu untuk drama 'Dia Semanis Honey' edisi Raya. "Saya belum bernikah dengan mana-mana wanita lagi. Ada ke orang nak saya?" katanya kepada BH Online. Terbaharu, gambar Zainol dan seorang wanita tidak dikenali yang dilihat seperti baru saja menjalani majlis pernikahan, tersebar di laman maya. Menurut laporan sebuah blog, Zainol dan wanita terbabit bernikah pada 19 Jun lalu di Kangar, Perlis. Pernikahan itu dikatakan berlangsung tanpa diketahui anaknya yang juga seorang pelakon, Zahirah Macwilson, atau keluarga Zainol atas permintaan anggota famili isteri baharu aktor terbabit. Zainol berharap, tiada pihak cuba membesarkan isu terbabit kerana ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama baiknya. "Sudah-sudahlah dengan khabar angin itu. Setakat ini, keluarga pun faham ia sekadar gosip," ujarnya. Sementara itu, BH Online turut menghubungi pengarah drama 'Dia Semanis Honey', Hadith Omar, bagi mengesahkan lagi penjelasan Zainol. Bagaimanapun kata Hadith, Zainol tidak mempunyai sebarang babak kahwin dengan mana-mana pelakon untuk drama berkenaan. "Untuk drama 'Dia Semanis Honey', Zainol menjayakan watak Doktor Farid yang sudah pun berkahwin. Jadi, tiada babak nikah untuk watak itu," katanya. Terdahulu, Zainol pernah dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang ustazah sehingga mengakibatkan perceraian dengan bekas isterinya, Maslinda Yusof, 42, pada 9 November lalu. Menerusi perkahwinan yang dibina selama 22 tahun itu, mereka mendapat empat cahaya mata termasuk Zahirah.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/166786?m=1 |
|