Suspek terperosok di bawah kereta yang dipandu mangsa. Kredit foto: Facebook Pekan Meru, Klang
Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri setelah melakukan jenayah ragut berakhir dengan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dan dia terperosok di bawah kereta yang dipandu mangsanya.
Memetik laporan Sinar Harian Online, kejadian itu berlaku di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri, Puchong kira-kira pukul 6.24 petang pada 29 Disember.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, suspek dipercayai meragut rantai emas daripada seorang lelaki yang ingin memasuki keretanya.
Mangsa menunjukkan rantai emas miliknya yang diragut suspek. Kredit foto: Facebook Unit Peronda Klang Utama - UPKU
Suspek kemudian dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus dan berhenti secara mengejut di tepi jalan.
Walau bagaimanapun, mangsa yang berumur 44 tahun tidak sempat memberhentikan kereta yang dipandunya lantas melanggar motosikal suspek dan mengakibatkan dia terjatuh.
Suspek yang cedera parah dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.52 petang.
"olis yang menjalankan siasatan kes itu turut menjumpai rantai yang diragut suspek terbabit," jelas Ismadi.
Suspek terbaring di atas jalan sebelum dibawa ke Hospital Serdang. Kredit foto: Facebook Unit Peronda Klang Utama - UPKU
Berdasarkan semakan rekod jenayah lampau, polis turut mendapati suspek pernah terlibat dalam tiga kes dadah, dua kes samun dan satu kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Dalam kes ini, nampaknya jenayah memang membawa padah sehingga menyebabkan kematian suspek yang terlibat. - CARI |