KUALA LUMPUR, 12 Januari:
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan membuka kertas siasatan terhadap perbuatan gadis Melayu dicium serta dipeluk ahli kumpulan K-pop, B1A4 dalam sebuah konsert di KL Live Center, pada 10 Januari lalu.
Pengarahnya, Paimuzi Yahya kesal dengan tindakan peminat wanita beragama Islam yang bertudung pada konsert artis Korea itu.
Menurutnya, perlakuan tersebut disifatkan melampaui batasan dan bertentangan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan, bertentangan dengan hukum syarak di tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Paimuzi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan, jika terdapat bukti dan keterangan mencukupi.
Sehubungan itu, JAWI meminta individu dan penganjur konsert itu tampil bagi membantu siasatan.