SHAH ALAM – Proses pemulihan akidah dan sosial terhadap 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) telah dimulakan sejak 1 Oktober lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, modul khas digunakan dalam proses pemulihan itu yang dibmaiangunkan oleh MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).
Katanya, MAIS telah mengambil tindakan bermula pada 23 September lalu bagi membangunkan pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kepada kanak-kanak GISBH.
“Sehingga kini, seramai 20 orang guru al-Riqab MAIS terlibat mengajar di Rumah Kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan 261 kanak-kanak.
“MAIS sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, MAIS melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini.
Tegas Abdul Aziz, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pemulihan akidah dan bimbingan agama terhadap ahli GISBH.
“Perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam turut dilaksanakan melalui Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.
“Selain itu, MAIS turut mempunyai 26 rumah pemulihan al-riqab yang bersedia membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi perancangan jangka panjang pula, mereka yang telah mengikuti proses pemulihan boleh menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ini termasuk sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi bergantung kepada syarat tertentu.
“MAIS turut menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.
“Selain itu, beberapa Jawatankuasa MAIS yang sedia ada termasuk Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah, Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Dakwah, Jawatankuasa Pengawalan Akidah dan Jawatankuasa Riqab turut memainkan peranan masing-masing bagi memperkasa usaha membanteras ajaran sesat, memperkasa usaha dakwah dan proses pemulihan,” katanya.
Tambah Abdul Aziz, usaha dakwa dan kesedaran juga giat dilakukan melalui Bahagian Dakwah JAIS
bagi memastikan mereka yang di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran ini. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/07/gisbh-akidah-261-kanak-kanak-dipulihkan-sejak-awal-oktober/