Keputusan ini dicapai setelah berbincang dan membuat pertimbangan dalam pelbagai sudut.
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan dua nama calon untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Dua nama yang dicalonkan adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Muhammad Azmin Ali, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
“Keputusan ini dicapai setelah berbincang dan membuat pertimbangan dalam pelbagai sudut.
“Seperti yang dipertegaskan sebelum ini, PAS akan terus komited dalam Pakatan Rakyat (PR) serta melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS.
Ujarnya lagi, empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari PAS akan terus berada dalam kerajaan negeri Selangor dan memastikan khidmat kepada masyarakat tidak terjejas.
“PAS tidak akan menuntut jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan PAS juga menghormati semangat yang ada dalam PR dalam mencalonkan MB Selangor.
“Keputusan itu tercapai secara sebulat suara,” katanya.
Pada petang ini, ketiga- tiga parti, PKR, DAP dan PAS akan menghadiri mesyuarat khas bagi menentukan dua calon tersebut.
Surat persetujuan untuk mencalonkan dua nama sebagai Menteri Besar telah dipersetujui dan ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut menjelaskan Khalid tidak lagi mendapat sokongan daripada PAS, kerana beliau sudah dipecat daripada partinya.
“Tidak timbul lagi sokong Khalid atau tidak, kerana dia bukan lagi ahli PKR,” ujarnya.
Apabila ditanya pemberita apakah kriteria yang dimiliki oleh Azmin untuk dicalonkan sebagai MB, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjawab, “Kenapa tidak Azmin?”