Syd posted on 26-12-2014 05:11 PM
Najib terus ke Kelantan sebaik tiba dari Amerika esok
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus ke Kelantan esok bagi memantau bantuan kecemasan kepada mangsa banjir sebaik tiba di tanah air dari Amerika Syarikat. Jurucakap Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, sebentar tadi berkata Perdana Menteri sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai banjir di negara ini sepanjang berada di luar negara. Najib juga berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengarahkan Jabatan Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara agar segera membantu kawasan yang terjejas. Sebaik tiba di Kelantan, Najib akan mempengerusikan mesyuarat dan diberi taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bantuan.
Perdana Menteri juga dijadual menemui penduduk yang terjejas banjir dan membincangkan kaedah terbaik dalam memberikan bantuan segera kepada mangsa yang sukar dihubungi. Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu melihat sendiri situasi banjir dan bersama dengan rakyat. "Saya amat prihatin dengan situasi banjir ini. Saya simpati dengan mereka yang kehilangan rumah dan keluarga yang kehilangan orang tersayang. "Ketika saya saya tiada (di negara ini), saya sentiasa berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara yang sentiasa memberi jaminan kepada saya yang mereka akan melakukan segala yang boleh bagi membantu mangsa yang terjejas," katanya.
|