Lazimnya, kebanyakan pesawat dicat warna putih. Tetapi mengapa kebanyakan pesawat dicat putih?
Jimat kos
Menurut laman web penerbangan Simple Flying, cat pada pesawat menambah berat pesawat antara 272 hingga 544 kilogram.
Berat tambahan ini meningkatkan jumlah bahan api yang digunakan pesawat yang bersamaan dengan membawa sebanyak lapan penumpang tambahan.
Mengeluarkan berat yang tidak perlu ini menjadikan penerbangan lebih murah untuk beroperasi.
Cat itu juga memerlukan banyak kos bukan hanya untuk peringkat awal, malah perlu dicat semula apabila warna mula kusam.
Jadi, terbukti warna putih tidak cepat pudar berbanding warna lain yang perlu dicat semula dengan lebih kerap.
Kadar mengecat Boeing 747 menggunakan kira-kira 545.53 liter cat, manakala Boeing 767 menggunakan kira-kira 409.15 liter, jadi kos mengecat pesawat komersial boleh menelan antara AS$50,000 (RM221,250) hingga AS$200,000 (RM885,000).
Selain itu, warna putih juga memudahkan proses dan menjimatkan kos ketika pesawat itu mengalami proses pertukaran pemilikan jenama atau syarikat baharu.
Putih menjadikan pesawat lebih nyaman
Warna putih mempengaruhi jumlah haba yang diserap pesawat daripada matahari pada kadar lebih rendah.
Menurut Simple Flying, pesawat berwarna putih membantu memantulkan cahaya matahari dan meminimumkan jumlah tenaga yang diperlukan untuk memastikan keadaan dalam pesawat itu selesa.
Kapal terbang moden yang diperbuat daripada bahan komposit memerlukan lebih perlindungan daripada matahari kerana ia boleh rosak akibat sinaran ultraungu (UV).
Concorde adalah contoh yang menarik dalam hal ini khususnya, jet berkemampuan Mach 2 dicat dengan warna putih yang sangat reflektif untuk menahan haba yang dihasilkan semasa penerbangan supersonik.
Pada tahun 1996, sebuah pesawat Concorde milik Air France dicat biru selama dua minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian pengiklanan dengan gergasi minuman ringan Pepsi.
Bagaimanapun, cat ini tidak mempunyai kualiti reflektif seperti warna asal putih, bermakna pesawat berkenaan hanya boleh beroperasi selama 20 minit pada satu-satu masa.
Jika lebih lama daripada tempoh itu ia akan berisiko menjadi terlalu panas.
Keselamatan dan penyelenggaraan
Mengecat pesawat dengan warna putih, lebih mudah bagi kru penyelenggaraan untuk mengesan sebarang kerosakan, menurut Simple Flying.
Ini membolehkan tumpahan atau kebocoran minyak, keretakan dan kerosakan lain dikenal pasti dan diperbaiki dengan segera.
Mengecat pesawat dengan warna putih juga membantu mengelakkan serangan burung yang membolehkan unggas melihat pesawat, dan mengelak daripada melanggarnya.
Mengecat pesawat dengan warna yang lebih gelap akan menjadikannya nampak sama dengan tanah dan mengurangkan keupayaan burung untuk melihatnya.
Selain itu, dalam misi mencari dan menyelamat fiuslaj (badan pesawat), putih membantu penyelamat mengesan tapak kemalangan dengan lebih mudah.
Pengecualian tertentu
Simple Flying menyatakan ada juga syarikat tidak menggunakan warna putih kerana beberapa pengecualian disebabkan tertakluk kepada peraturan.
Contohnya, Air New Zealand, yang mengecat beberapa pesawat dengan warna hitam sebagai sebahagian daripada perkongsian pemasaran dengan Pelancongan New Zealand.
Baru-baru ini, syarikat itu mencipta sejarah dengan menerima penghantaran Airbus A321 neo serba hitam pertama dengan penjenamaan Star Alliance.
Di negara lain, syarikat penerbangan tambang murah juga banyak menggunakan cat lebih berwarna seperti easyJet yang menggunakan warna jingga.
Selain itu, reka bentuk pesawat bukan berwarna putih adalah piawaian untuk syarikat seperti PLAY, Southwest Airlines, Spirit Airlines, Wizz Air serta Wow Air Iceland.