KUALA LUMPUR: Lima faktor yang dikenal pasti mempengaruhi kenaikan kos ibadat haji kepada jemaah negara ini adalah di luar kawalan Lembaga Tabung Haji (TH).
Faktor itu ialah inflasi, mata wang, cukai, peningkatan kualiti perkhidmatan dan pembangunan di Makkah serta Madinah.
Bahagian Komunikasi Korporat TH memaklumkan, faktor yang mempengaruhi kenaikan kos haji terbabit adalah sesuatu di luar kawalan.
"Faktor kenaikan kos haji membabitkan kadar inflasi dan sara hidup di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing dan pengenalan caj serta percukaian baharu di Arab Saudi.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhfaktor131_1673623472.jpg)
"Selain itu, ia membabitkan penambahan kualiti perkhidmatan dan kemudahan serta pembangunan di Makkah dan Madinah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bayaran yang dikenakan bagi menunaikan ibadah haji pada musim lalu, meningkat menjadi sebanyak RM10,980 kepada jemaah daripada kumpulan B40, manakala RM12,980 untuk kumpulan bukan B40.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhfaktor133_1673623469.jpg)
Secara keseluruhannya, kos setiap jemaah menunaikan haji bagi musim lalu adalah sebanyak RM28,632 dan TH memberi bantuan sebanyak RM17,652 iaitu 62 peratus kepada B40, manakala 55 peratus bantuan bagi bukan B40 iaitu RM15,652.
Menurut TH, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan menunaikan ibadat haji seperti penerbangan, penginapan, pengangkutan bas, sajian makanan dan mutawif sepanjang tempoh 40 hingga 45 hari menunaikan ibadat itu.
Sebanyak 64 peratus daripada keseluruhan kos dibelanjakan untuk penginapan dan penerbangan manakala 36 peratus perkhidmatan di Arab Saudi.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhfaktor132_1673623471.jpg)
"Bayaran haji adalah sejumlah wang yang dibayar oleh seorang jemaah kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji. Bayaran haji adalah lebih rendah daripada kos sebenar menunaikan haji.
"Bantuan Kewangan Haji adalah jumlah di mana TH membiayai sebahagian kos haji jemaah Malaysia yang menunaikan ibadat buat pertama kali secara Muassasah.
"Ini dilakukan melalui penetapan bayaran haji bersasar pada kadar RM10,980 iaitu 38 peratus daripada kos haji sejak 2022 bagi jemaah B40, manakala RM12,980 iaitu 45 peratus daripada kos haji bagi jemaah haji bukan B40," katanya.
Menurut TH, perbezaan ini ditanggung sepenuhnya oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Katanya, sumber bantuan kewangan haji atau subsidi itu adalah hasil daripada pendapatan aktiviti pelaburan TH.