"Alhamdulilah, ini satu perkara yang amat baik kerana dulu mereka tutup pintu terus dan tidak mahu berunding serta berhubung langsung tapi mulai tahun ini, mereka hantar wakil, yang kita benarkan bukan daripada badan politik tapi wakil kerajaan, diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luarnya.
"Jadi, kita nak ambil peluang ini supaya pintu yang terbuka ini, kita nak gunakan supaya dapat berunding dengan mereka dan rundingan bukan satu pihak saja tapi banyak pihak kerana satu pihak saja tidak akan selesaikan masalah di Myanmar kerana masing-masing menyatakan mereka akan menang atau lebih kuat.
"Kita tidak paksa mereka (Myanmar) tetapi mereka yang mahu dan menghantar isyarat bahawa mereka memang tunggu Malaysia untuk berunding," katanya ditemui media Malaysia, malam tadi bagi merumuskan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, yang masuk hari kedua, semalam.
Myanmar di bawah pemerintahan junta berdepan tekanan terbesar bagi menstabilkan ekonominya yang runtuh sejak rampasan kuasa daripada kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik pada Februari 2021.
Negara itu dibelenggu perang saudara antara tentera di satu pihak dan di pihak lain, pakatan longgar tentera etnik minoriti yang ditubuhkan serta gerakan penentangan akibat tindakan keras junta terhadap protes antirampasan kuasa.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua negara ASEAN menyuarakan kebimbangan mereka terhadap krisis di Myanmar pada sidang kemuncak itu, yang kini sudah menjadi krisis serantau.
"Kita bercakap mengenai Gaza tapi pada masa sama, ASEAN juga hadapi isu sama di kawasan kita sendiri.
"Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab berat kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, untuk kita menguruskan isu Myanmar ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309377/asean-summit-malaysia-mula-inisiatif-rundingan-selesai-konflik-di
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309377/asean-summit-malaysia-mula-inisiatif-rundingan-selesai-konflik-di