Hilang tiga hari di dalam hutan, lelaki OKU ditemukan selamat
KUALA KRAI: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di kawasan hutan di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Pas, dekat Lata Pungil, Selasa lalu, ditemukan selamat, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa Azhar Abdul Rashid, 50, ditemui sedang berjalan kaki di ladang sawit Bukit Chengal oleh penduduk pada jam 8.14 malam. Katanya, mangsa ditemui tidak berpakaian berada dalam keadaan lesu dan kelaparan disebabkan dua hari tidak makan. "Mangsa yang tidak mengalami kecederaan diberikan pakaian dan juga makanan oleh penduduk sebelum menunggu pasukan penyelamat datang mengambilnya.
Selepas itu, kami menyerahkannya kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi. Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri hilang semasa keluar memetik buah dokong bersama rakannya di Sungai Pas sejak tiga hari lalu. Mangsa yang berasal dari Sungai Rek, Laloh dikatakan ke kebun berkenaan selepas diajak seorang lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara untuk mengambil buah dokong, kira-kira jam 8 pagi. Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Adha Mohd Zain, 25, berkata, sejak kehilangan lelaki itu dia menjadi jurupandu kepada anggota keselamatan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) di beberapa kawasan hutan berdekatan. "Saya bersama dengan pasukan keselamatan, keluar mencari mangsa dari awal pagi. Alhamdulillah saya bersyukur, mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1309357/hilang-tiga-hari-di-dalam-hutan-lelaki-oku-ditemukan-selamat
|