ZUL ARIFFIN meraih sensasi tatkala rumah tangga pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim berantakan. Ketika itu, dia didakwa cuba menumpang populariti Abby. Dia menjalinkan hubungan seketika bersama Abby, namun ia putus di tengah jalan. Sejak saat itulah ramai mula mengenali siapa Zulkifli Ariffin. Orangnya tinggi, berwajah tampan dan berkulit putih. Pakej lengkap untuk menjadi seorang pelakon, cuma ketika itu Zul masih pucuk hijau dalam industri seni. Profil seninya juga belum meyakinkan, hanya kisah sensasi cintanya bersama Abby menjadikan namanya dikenali umum. Namun, semua itu tinggal sejarah. Hari ini Zul telah membuktikan dia seorang pelakon berkualiti dan mempunyai peminat yang ramai. Pencetusnya ialah drama Rindu Awak 200% yang kini sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3. "Saya berusaha keras untuk kecapi apa yang saya dapat hari ini. Perjalanan seni saya bukan mudah. Awal kemunculan, orang melabelkan saya tumpang populariti orang lain tetapi hari ini saya buktikan yang saya seorang pelakon berkualiti," kata Zul. Tegasnya, pada luaran orang mungkin lihat dia hanya menjual rupa dan sosok tubuhnya yang sasa, tetapi hakikat sebenarnya dia berhempas-pulas untuk menjayakan setiap watak yang diberikan kepadanya. Demi watak Zill Faezrul Iqbal, seorang juruterbang yang terpaksa berkahwin dengan Armel Aisya (Ayda Jebat) atas pilihan keluarga, Zul sanggup menempah sendiri pakaian seragam juruterbang itu dan berjanji pada diri sendiri bahawa drama siri itu akan meraih rating yang tinggi. "Kali terakhir saya berlakon dalam drama di TV3 adalah untuk drama Janji Adam dan juga Nora Elena kira-kira tiga tahun yang lalu. Apabila diberi peluang beraksi dalam Rindu Awak 200% untuk slot Akasia yang ditayangkan pada bulan Ramadan, saya berjanji pada diri sendiri, drama ini akan popular. FIGURA ini membuktikan kejayaannya untuk bergelar pelakon berwibawa bukan disebabkan faktor wajah yang tampan dan sosok tubuh sasa yang dimilikinya.
|
"Saya membuat kajian terlebih dulu sebelum menerima tawaran. Selalunya apa sahaja drama yang disiarkan pada waktu orang sedang berbuka puasa, pasti akan popular. Sebab itu, saya berjanji dengan diri sendiri untuk lakukan yang terbaik, jika sasaran tidak tercapai, baik saya lupakan sahaja kerjaya sebagai pelakon. "Disebabkan itu, saya sanggup mengeluarkan bajet tempah pakaian seragam juruterbang yang mengikut saiz badan saya. "Pakaian itu siap dalam masa 24 jam sebelum penggambaran bermula. Hasilnya sangat berbaloi," tuturnya tentang drama yang diadaptasi daripada novel itu. Disoal tentang populariti, Zul hanya tersenyum sambil berkata, dia sedang berada pada fasa yang selesa. Tidak menolak perhatian yang diberikan peminat tetapi pada masa yang sama dia masih menjaga batas supaya privasi diri tidak diceroboh. "Ya, situasi yang berbeza tetapi saya menerima keadaan sekarang dengan baik. Sejak saya menyimpan impian untuk jadi pelakon, saya selalu tanamkan sasaran untuk jadi yang terbaik bukan soal siapa paling sensasi dan popular tetapi kualiti lakonan. "Jika saya berlakon dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, penonton pasti merasai perasaan yang ingin disampaikan. Itu menjadikan seseorang pelakon berkualiti dan tugas saya sekarang ini adalah untuk mengekalkan momentum kualiti kerja. "Bimbang juga terbabas daripada sasaran asal kerana saya tidak mahu menjadi popular dalam sebuah drama kemudian sepi bak kata orang one hit wonder. "Saya ingin kekal dalam industri selama yang mungkin dan menjadi antara pelakon kebanggaan Malaysia," ceritanya panjang lebar. Besar impiannya tetapi Zul dengan yakin mengatakan, apabila meletakkan sasaran biarlah yang paling tinggi sekali iaitu menjadi pelakon lelaki nombor satu Malaysia dan dikenali ke peringkat antarabangsa. "Tidak salah menyimpan impian. Sebab itu saya kata, ini hanyalah permulaan sahaja. Banyak lagi perancangan yang saya aturkan untuk kembangan kerjaya saya sebagai pelakon. ZUL bakal bergandingan dengan Keith Foo dalam filem terbaharu arahan Osman Ali, Langit Cinta.
|
"Bukan riak, tetapi dalam kerjaya, saya harus mempunyai strategi dan perancangan demi masa depan yang cerah. Salah percaturan, nama saya menjadi taruhan,"katanya. Terbaharu nama Zul turut tercalon sebagai calon akhir dalam Festival Filem Malaysia ke-26 untuk kategori pelakon lelaki harapan terbaik menerusi filem Penanggal. Filem itu mendominasi dengan 15 pencalonan secara keseluruhannya. "Alhamdulillah, nama saya tersenarai sebagai calon akhir untuk kategori pelakon lelaki harapan. Bagi saya pencalonan itu satu bonus untuk saya, jadi saya tidak berani meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Andai ada rezeki sudah pasti saya ingin membawa pulang anugerah itu," terangnya. Pilih karya Selepas kejayaan dengan drama Rindu Awak 200%, deretan projek filem dan drama menantinya. Baru sahaja pulang dari Istanbul, Turki kerana penggambaran drama bersiri itu, Zul memberitahu, dia terpaksa memilih karya yang terbaik demi kelangsungkan kerjayanya. Tegasnya, sejak kebelakangan ini ramai pelakon baharu muncul. Mereka juga memilih karya yang bagus untuk menaikkan nama dalam industri. "Persaingan memang ada. Sekarang kita ada ramai pelakon yang bagus dan juga banyak karya yang bagus. Saya mengaku memang saya memilih karya sebab semua orang melakukan hal yang sama,"tuturnya. Selain drama Istikarah Cinta, dua drama yang diangkat daripada novel menantinya, malah, dia juga bakal terlibat dalam sebuah filem yang berjudul, Langit Cinta arahan pengarah terkenal, Osman Ali bergandingan dengan Keith Foo. "Filem itu dibikin untuk memecah rekod yang dipegang oleh filem Ombak Rindu. Saya hanya berusaha yang terbaik, hasilnya terserah kepada penonton," katanya tentang filem yang akan menjalani penggambaran September ini. Tidak hanya itu, Zul meneliti karya yang ditawar kepadanya dengan terperinci. Antaranya, jalan cerita, tarikh tayangan dan juga kumpulan sasaran penonton. "Bagi saya, cerita yang bagus tetapi disiarkan pada waktu yang salah pun tidak guna juga. Saya juga kaji penonton, kebanyakan mereka tidak suka cerita yang berat sebaliknya suka cerita yang santai, jadi skrip sebegitu yang akan menjadi pilihan saya," ujarnya. Nampaknya, Zul seakan sebati dengan watak romantik komedi. Tidak bimbang dilabel sebagai pelakon stereotaip, Zul menjelaskan selagi lakonannya disukai penonton, dia tidak kisah membawa watak yang lebih kurang sama berulang kali. "Mungkin kerana genrenya romantik komedi, wataknya akan kelihatan lebih kurang sama tetapi hasilnya pasti berbeza. Ini kerana setiap drama diarahkan oleh pengarah dan digandingkan dengan pelakon yang berbeza," luahnya. Wanita berusia Umum sudah mengetahui, hati lelaki berasal dari Taiping, Perak itu sudah dimiliki oleh wanita bernama, Gayatri Su-Lin Pillai, 38, seorang penerbit filem. Berkenalan ketika menjalani penggambaran filem Penanggal arahan aktres Ellie Suriati pada tahun 2011, banyak kisah lucu yang berlaku sebelum mereka bercinta. Cerita Zul, hubungan mereka dirapatkan oleh Ellie Suriati. Tidak menyangka perkenalan di set penggambaran filem itu membuatkan hati mereka bertaut sehingga ke hari ini. "Semuanya bermula apabila kak Ellie sibuk minta saya temankan Gayatri yang berseorangan ketika penggambaran berlangsung. Pada mulanya, sebagai rakan tidak sangka pula hubungan kami serius dan bertahan sehingga hari ini," kata Zul. Meskipun sudah punya kekasih, namanya kerap digosipkan bersama beberapa artis wanita antaranya, Nasha Aziz, Elfaeza Ul-Haq dan terbaharu Ayda Jebat. Semuanya kerana keserasian yang terjalin antara mereka di set penggambaran drama. "Ya, saya tahu memang nama saya kerap digosipkan dengan beberapa artis. Saya tidak kisah kerana mereka rakan saya, kekasih saya hanya satu sahaja, Gayatri. Kami masih pasangan kekasih. "Biar apapun orang bercakap tentang saya, paling penting kami berdua tahu kedudukan yang sebenar. Setakat hari ini saya cukup senang bersamanya," tegas Zul yang 10 tahun lebih muda daripada kekasihnya itu. Ditebak, adakah Zul sememangnya suka wanita yang berusia daripadanya? Tertawa dengan soalan itu, katanya, dia tidak pernah meletak sasaran usia apabila tiba pada percintaan. "Sebelum ini, ada juga saya bercinta dengan wanita seusia dan lebih muda. Namun, apabila sudah suka seseorang itu, usia bukan satu masalah. Asalkan saya selesa dan dia memahami saya sudah cukup memadai," ujarnya. Tambahnya lagi, keluarganya juga merestui hubungannya dengan Gayatri, malah Zul merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun hadapan. "Saya sasarkan tahun depan saya akan berkahwin. Keluarga saya tidak kisah dengan siapa saya berkawan janji saya gembira dengan pilihan sendiri. Namun, disebabkan tahun ini agak sibuk dengan kerja dan ada beberapa masalah yang harus diselesaikan, saya kira tahun depan tahun yang terbaik untuk saya berkahwin," luahnya yang menganggap kisah peribadi terlalu privasi untuk dikongsi bersama umum.
|