Selama enam tahun tidak muncul dengan album baharu, baru-baru ini kumpulan ska-rock, Spider menghadiahkan buah tangan terkini berjudul Ankabut kepada peminat setia mereka.
Menampilkan 10 lagu, ia muncul sebagai album keenam kumpulan terbabit, yang kali akhir tampil bersama Kita Satu pada 2010.
Menerusi album terbabit, Spider mempertaruhkan Lagu Hidupku sebagai single pertama. Ia hasil ciptaan sepenuhnya vokalis mereka, Tam Mustafah.
"Harapnya, album ini akan mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu kami. Semua kerja rakaman dan adunan dilakukan di Studio Ronggeng Luncai Emas dan Supra 7, manakala proses 'mastering' album ini dibuat di Amerika Syarikat."
Album berkenaan mencerminkan kematangan dalam karya mereka dengan penekanan tetap diberikan kepada mutu lagu, lirik, susunan muzik dan rakaman.
Dilancarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 28 Ogos lalu, majlis itu turut mendapat kerjasama Fakulti Muzik Dan Seni Persembahan (FMSP) institusi pengajian tinggi terbabit.
Pada sebelah malam, kumpulan itu turut mengadakan persembahan di tempat sama.
Spider masih mengekalkan anggota asal iaitu Tam; pemain gitar, Hanafi dan pemain dram, Ayie.
Gitar bes kini dimainkan oleh Is, yang menggantikan tempat Tony Iskandar.- CARI