Ekoran berlaku pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 5,044 laman sesawang sejak 2015 sehingga Oktober tahun ini.
Sumber foto: Carian Internet
Menurut Bernama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari mendedahkan dalam persidangan Dewan Negara hari ini bahawa 4,277 daripada jumlah yang disekat merupakan laman sesawang berunsur lucah dan mengancam keselamatan, manakala 767 lagi berunsur perjudian, penipuan, cetak rompak, ubat tidak berdaftar dan lain-lain.
"SKMM menyekat semua laman sesawang itu berdasarkan permohonan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta agensi berkaitan yang lain.
"Sehingga Oktober lepas, SKMM juga menyekat 72 laman sesawang berkaitan penyebaran ideologi Daesh," katanya.
Dalam masa sama, SKMM juga menyiasat 181 kes penyalahgunaan Internet dan media sosial melibatkan penyebaran kandungan dan maklumat palsu melalui platform WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya di bawah akta sama.
Tambahnya, enam kes daripada jumlah itu dihadapkan ke mahkamah dengan lima kes telah menjalani pendakwaan, manakala 10 kes dikompaun.
Selain itu, SKMM telah mengambil langkah mememperkenalkan aplikasi 'alat untuk kawalan ibu bapa' bagi memudahkan ibu bapa memantau penggunaan internet yang diakses oleh anak-anak.
"Aplikasi ini menggalakkan ibu bapa terlibat sama dalam proses memantau dan menyaring laman sesawang yang dilayari anak-anak mereka. Apa yang penting kita harus ada kawalan kendiri," katanya. - CARI
|