Geram! Dengan matanya yang besar dan bulat ditambah mulut kecil terjuih. Rasa seperti mahu dicubit-cubit sehingga menangis!
Lebih comel, kanak-kanak berusia lapan bulan ini memiliki rambut yang panjang dan lebat tidak seperti kanak-kanak seusianya.
Pasangan Inggeris Adam Rattab dan Annabel Murchie memiliki seorang puteri, Maya Rattab yang lahir dengan rambut yang agak panjang dan lebat.
Rambut Maya yang dianggap lebat bagi bayi seusianya membuat kedua orang tuanya terpaksa menggunakan pengering rambut bagi mengeringkan rambutnya itu setiap hari kerana ia mengambil masa untuk kering jika hanya menggunakan kain tuala.
Menurut Mail Online, Adam mendakwa rambut Maya tumbuh dengan cepat dan bagaikan tidak berhenti tumbuh. Jadi, rambutnya harus dibasuh selalu kerana jika tidak ia akan menjadi kusut dan susah diurus.
Pun begitu, menurut Adam dan Annabel, Maya akan tertawa semasa mereka mengeringkan rambutnya. Malah, dia menikmati saat ibu bapanya menggayakan rambutnya dengan pelbagai gaya.
Biasanya rambut bayi akan gugur dan tumbuh yang baharu seiring dengan pembesarannya. Namun, rambut Maya terus tumbuh dan melebat.
Sumber foto: Caters News Agency
"Kini rambut Maya sudah hampir mencecah bahunya," kata Annabel.
Mengurus rambut anak yang panjang dan lebat mungkin agak leceh bagi kebanyakan ibu bapa. Jadi mengapa ibu bapa Maya tidak potong sahaja rambutnya, ya? - CARI