Pemberian bunga ros memang cukup sinonim untuk melambangkan rasa kasih sayang kepada si penerima. Namun tahukah anda apa makna disebalik warna bunga ros? Malah bilangan kuntum bunga ros juga ada maksud yang tersendiri.
Bunga ros merah sering dikaitkan dengan percintaan. Ada yang suka memberi sekuntum bunga ros merah kepada si wanita idaman, tidak kurang juga yang suka memberi sejambak ros merah sebagai tanda memikat, memujuk, melamar dan juga untuk meluahkan rasa cinta.
Untuk kaum wanita yang menerima bunga ros, pasti teringin untuk mengetahui rahsia sebenar isi hati si pemberi kan. Wajib untuk orang lelaki juga tahu maksud warna dan bilangan bunga ros. Takut nanti yang memberi nak menyampaikan maksud tertentu, yang menerima pula tersalah tafsir.
Makna Di Sebalik Warna Bunga Ros 1. Bunga Ros Merah – membawa maksud cinta dan sayang. Kebiasaannya bunga ros merah untuk menyampaikan kata “I Love You”. Namun kerana bunga ros sering dikaitkan dengan warna merah, maka ia juga turut diberikan untuk menunjukkan rasa penghargaan dan juga untuk majlis rasmi.
2. Bunga Ros Pink (merah jambu) – bunga ros pink kebiasaannya diberi untuk menyampaikan rasa terima kasih, simpati dan juga melambangkan rasa gembira. Ros pink sering dikaitkan dengan si penerima yang mempunyai sifat kewanitaan yang tinggi.
3. Bunga Ros Kuning – bunga ros kuning pula melambangkan persahabatan dan juga permulaan kepada suatu yang baru, contohnya perhubungan yang baru. Bunga ros kuning juga boleh diberikan untuk mengucapkan tahniah di atas sesuatu kejayaan.
4. Bunga Ros Putih – bunga ros putih sering digunakan untuk meluahkan rasa cinta yang suci. Sesuai dengan maksudnya, bunga ros putih sering dijadikan gubahan di hari perkahwinan.
5. Bunga Ros Ungu – biarpun memberi atau menerima bunga ros ungu bukan sesuatu yang sering kita lihat atau dengar, tetapi bunga ros ungu tetap membawa maksud yang tersendiri iaitu sebagai tanda cinta pandang pertama.
6. Bunga Ros Oren – bunga ros oren pula sering diberi sebagai tanda pengharapan iaitu untuk meluahkan rasa ingin memiliki perhubungan yang lebih bermakna. Bunga ros oren juga sesuai diberi kepada rakan kongsi sebagai tanda kerjasama dalam perniagaan.
Makna Bilangan Kuntum Bunga Ros - Sekuntum Bunga Ros – Melambangkan rasa cinta pandang pertama dan untuk meluahkan bahawa “kaulah satu-satunya untukku”.
- 2 Kuntum Bunga Ros – Saling sayang menyayangi antara satu sama lain
- 3 Kuntum Bunga Ros – I Love You
- 6 Kuntum Bunga Ros – Aku ingin menjadi milikmu untuk selamanya.
- 7 Kuntum Kuntum Bunga Ros – Menyampaikan rasa yang si dia tergila-gilakan anda
- 9 Kuntum Bunga Ros – Melambangkan cinta yang abadi sehingga ke akhir hayat
- 10 Kuntum Bunga Ros – Menyatakan yang anda terlalu sempurnya untuknya
- 11 Kuntum Bunga Ros – Kau sangat berharga bagiku
- 13 Kuntum Bunga Ros – Biasanya diberi oleh peminat rahsia
- 15 Kuntum Bunga Ros – Sebagai tanda memohon kemaafan
- 20 Kuntum Bunga Ros – Melambangkan kejujuran dalam perhubungan
- 100 Kuntum Bunga Ros – Aku akan mencintaimu sepanjang hidupku
Itulah perkongsian tentang Makna Di Sebalik Warna Bunga Ros dan juga makna disebalik bilangan kuntum bunga ros. Lepas ini bila anda menerima sejambak bunga ros, bolehlah anda tahu secara asas makna disebalik pemberian itu dan rahsia yang cuba disembunyikan oleh si pemberi.
Selamat berkasih sayang.
|