Selepas dilanda kontroversi membabitkan dirinya dengan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein, Faye Kusairi kini mengaku dalam perancangan melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungannya bersama kekasih iaitu pengarah Azmi Hatta selepas Hari Raya Aidilfiri akan datang.
"Kami ada merancang untuk berkahwin Insya-Allah tahun ini tapi bukan bulan Februari kerana jadual saya padat dengan tiga buah drama yang sedang menjalani penggambaran.
"Susah nak cari masa saya dan Azmi yang betul-betul sesuai. Daripada segi persiapan pun kami tak buat apa-apa lagi kerana hari-hari sibuk buat persiapan penggambaran," katanya kepada mStar Online.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 30, menafikan akan menunggu kontroversi menimpa dirinya reda terlebih dahulu.
"Apa juga keputusan untuk berkahwin adalah hal peribadi saya dan saya buat apa juga yang saya rasa ia membuatkan saya gembira dan bukan untuk orang lain gembira," tegasnya.
Sumber foto: IG Faye Kusairi
Dalam pada itu, Faye juga melahirkan rasa bersyukur kerana segala kontroversi itu tidak menjejaskan fokus lakonannya dalam drama Tujuh Hari Mencintaiku.
"Sepanjang penggambaran drama itu saya dihimpit kontroversi dan keadaan kesihatan saya juga tidak baik. Namun saya bersyukur apabila semua pelakon menganggap tiada apa-apa berlaku.
"Ia membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan penggambaran drama dan beri lakonan yang berkesan," ujarnya.
Baguslah tidak mencampuradukkan masalah peribadi dengan karier. Semoga semuanya baik-baik sahaja. - CARI |